Kerajaan guna IHP sebagai penunjuk utama gubal dasar

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kekal relevan dan merupakan antara penunjuk utama yang digunakan oleh kerajaan bagi tujuan penggubalan dasar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Eddin Syazlee Shith, berkata IHP digunakan untuk mengukur inflasi secara bulanan sebagai antara penunjuk utama makroekonomi.

- Advertisement -

Menurutnya, IHP adalah ukuran perubahan harga dari semasa ke semasa bagi sekumpulan barangan dan perkhidmatan tetap yang biasa dibeli oleh isi rumah.

Katanya, Bakul IHP mengandungi kira-kira 833 jenis barang dan perkhidmatan penggunaan terpilih dan dikelaskan berpandukan Klasifikasi Penggunaan Individu Mengikut Tujuan (COICOP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam 12 kumpulan.

“Kumpulan berkenaan ialah makanan dan minuman bukan alkohol; mnuman alkohol dan tembakau; pakaian dan kasut; perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain; hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah; kesihatan; pengangkutan.

“Komunikasi; perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan; pendidikan; restoran dan hotel; pelbagai barangan dan perkhidmatan,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Ignatius Darell Leiking (Warisan-Penampang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Eddin Syazlee berkata, dalam konteks wajaran kumpulan berkenaan, makanan dan minuman bukan alkohol merupakan komponen terbesar perbelanjaan isi rumah, iaitu sebanyak 29.5 peratus.

Menurutnya, IHP hanya meliputi perbelanjaan yang dilakukan oleh isi rumah dan tidak termasuk pembayaran balik pinjaman, cukai pendapatan dan pembelian aset.

Katanya, penyediaan IHP adalah berdasarkan konsep dan garis panduan Manual Indeks Harga Pengguna: Konsep dan Kaedah 2020 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Bagi tujuan penyusunan IHP, kutipan harga dibuat secara mingguan, bulanan dan suku tahunan yang meliputi 21,800 premis di seluruh Malaysia. Ia merangkumi kawasan bandar dan luar bandar.

“Premis yang terpilih adalah yang menjadi tumpuan pengguna dan berstruktur tetap. Kerja kutipan harga melibatkan kira-kira 1,100 pegawai tetap DOSM,” katanya.

Beliau berkata, kutipan harga secara mingguan dibuat bagi barangan tidak tahan lama di pasar dan harga dipungut setiap hari Isnin dan Selasa minggu pertama dan ketiga setiap bulan.

“Bagi kutipan harga barangan lain seperti barangan tahan lama dan separuh tahan lama pula, dikutip sebulan sekali iaitu kebiasaannya pada 15 haribulan setiap bulan. Harga dikutip di setiap premis adalah harga yang dipaparkan atau harga semasa yang dijual kepada pengguna.

“Bakul atau item IHP dikaji semula dua kali setiap lima tahun berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah. – HARAKAHDAILY 22/3/22

- Advertisement -