Kenakan tindakan tegas kepada ‘Kak Long 7E’

Ekoran tindakannya yang didakwa telah menghina golongan OKU

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT) menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook Wan Nor Baizura, atau lebih dikenali sebagai ‘Kak Long 7E’ yang didakwa telah menghina golongan orang kelainan upaya (OKU).

- Advertisement -

Presiden POKUAT Fakruddin Zakaria berkata beliau bersama 15 ahli lain, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini pada 9.58 pagi tadi, bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan sekali gus mengenakan tindakan terhadap wanita itu.

“Sebelum video OKU ini tular, dia (Kak Long 7E) juga pernah memuat naik video sensasi lain di laman sosial, kemudian membuat permohonan maaf selepas dikecam teruk, tetapi nampaknya tidak serik-serik dan tetap ulangi kesilapan sama.

“Oleh itu tindakan lebih tegas perlu diambil untuk memberi pengajaran kepada individu lain supaya tidak mengulangi kesilapan sama,” katanya yang mewakili kira-kira 600 ahli POKUAT di seluruh negeri itu ketika ditemui pemberita di IPD Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Wanita itu didakwa menghina serta memperlekeh golongan OKU, apabila dengan sengaja memuat naik video yang mengajuk mimik muka serta gaya berjalan golongan berkenaan di laman sosial baru-baru ini.

Selain itu, Fakhruddin berkata pihaknya juga terpanggil untuk membuat laporan polis, supaya pihak kerajaan membuka mata dan memikirkan bahawa sudah sampai waktunya diwujudkan satu akta, yang membolehkan hukuman dikenakan terhadap mana-mana individu yang menghina OKU sama ada dalam bentuk perbuatan atau pertuturan.

Beliau turut meminta supaya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyekat segera akaun sosial milik Wan Nor Baizura, yang dianggap telah menyalahgunakan medium tersebut untuk tujuan tidak baik.

“Kami juga sarankan agar Senator Datuk Ras Adiba Radzi (Presiden OKU Sentral), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, memandang serius perkara ini dan mengambil langkah seperti menggubal akta sesuai.

“Kami juga amat berharap supaya masyarakat di luar sana lebih peka dan sensitif dengan perasaan OKU seperti kami, yang seringkali terpinggir dan diabaikan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -