Memburu Kasih Gong Xi Fa Cai santuni OKU

- Advertisement -

HULU LANGAT: Tahun Baharu Cina telah diraikan Muslimat PAS Kawasan Hulu Langat bersama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Negeri Selangor dengan menyantuni warga orang kelainan upaya (OKU).

Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Hassan bersama rombongan dengan turut disertai Ketua Muslimat PAS Hulu Langat, Zaiton Ahmad telah berkunjung dari rumah ke rumah kaum Tionghua yang dikenal pasti.

- Advertisement -

Ziarah dan sumbangan berupa angpau dan kit keperluan dapur serta buah mandarin yang menjadi simbol kekayaan bagi kaum itu telah diberikan kepada setiap keluarga dikunjungi dalam rangka mengerat hubungan kaum di negara ini.

Rombongan berkongsi sambutan yang dilihat secara sederhana itu kerana masih berwaspada dengan penularan COVID-19, namun menghayati semangat tahun harimau mewakili zodiak ketiga dalam kalender Cina.

Anggota delegasi program Memburu Kasih Gong Xi Fa Cai ini difahamkan, individu yang lahir pada tahun ini memiliki sifat-sifat seperti berani, kompetitif, berkeyakinan, selain juga sifat tidak boleh dijangka.

“Program seperti ini akan sentiasa menjadi agenda utama hubungan kita antara kaum dan diteruskan di masa akan datang,” ujar Zaiton dalam kunjungan sekitar Broga dan Semenyih ini. – HARAKAHDAILY 7/2/2022

- Advertisement -