Australia bina pangkalan kapal selam berkuasa nuklear AS$10 bilion

- Advertisement -

MELBOURNE: Australia bakal membelanjakan kira-kira AS$10 bilion (RM42 bilion)  untuk membina pangkalan bagi kapal selam berkuasa nuklear baharunya.

Perdana Menteri Scott Morrison dalam kenyataannya semalam berkata, kemudahan baharu di pantai timur negara itu akan menyediakan ‘peluang penempatan di kedua-dua lautan Hindi dan Pasifik’ dan ‘meningkatkan keupayaan pencegahan strategik Australia di Lautan Pasifik’,

- Advertisement -

“Australia berdepan persekitaran keselamatan yang sukar dan berbahaya dan kami mesti terus melabur dalam mengembangkan keupayaan Pasukan Pertahanan Australia (ADF)  untuk memastikan keselamatan rakyat Australia  terjamin,” ujarnya. 

Morrison menegaskan bahawa perkongsian AUKUS yang dijalin dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom pada  tahun lepas akan memberikan Australia ‘akses kepada teknologi terbaik di dunia untuk menyokong usaha negara itu bagi menghalang ancaman terhadap kepentingan nasional Australia di Indo-Pasifik’.

Di bawah pakatan AUKUS, ia dilihat sebagai percubaan Australia  untuk menentang pengaruh ekonomi dan ketenteraan China yang semakin meluas di rantau ini, dengan AS dan UK akan membantu Australia membina kapal selam berkuasa nuklearnya.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton berkata, keputusan untuk membina pangkalan  kapal selam berkuasa nuklear  itu didorong oleh ‘persekitaran strategik yang berubah’.

Menurut beliau, berkata pangkalan ketenteraan baharu itu ‘akan memastikan Australia mempunyai infrastruktur dan kemudahan yang bersedia untuk menyokong kapal selam tersebut apabila mereka memasuki perkhidmatan’.

“Pangkalan tentera laut baharu di pantai timur Australia  juga akan mempunyai kelebihan yang ketara untuk latihan, kakitangan dan industri pertahanan negara ini,” ujarnya.

Pada tahun lalu, Australia mendedahkan hasratnya untuk memperoleh sekurang-kurangnya lapan kapal selam berkuasa nuklear sebagai sebahagian daripada pakatan AUKUS yang baru diwujudkan itu. – The Guardian

- Advertisement -