Masalah banjir luar biasa perlu pelan jangka pendek dan panjang

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempunyai pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir yang sepanjang tempoh tiga bulan lalu sangat luar biasa.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, berkata pada Disember tahun lalu, banjir besar melanda Selangor dan Pahang, manakala Februari tahun ini di Kelantan dan Terengganu, diikuti di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, kelmarin.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk membantu warga yang dilanda banjir dan membaiki infrastruktur yang mencecah hingga RM1.4 bilion untuk banjir pada tahun lalu sahaja, manakala banjir tahun ini belum dikira lagi.

Menurutnya di sesetengah tempat, banjir sering berulang setiap kali hujan lebat walaupun hanya beberapa jam menyebabkan kerajaan perlu mengenal pasti tempat berisiko banjir untuk membaik pulih infrastruktur.

“Jika jambatan rendah, maka binalah jambatan yang lebih tinggi. Jika masalahnya ialah sistem perparitan, maka binalah sistem perparitan yang dapat menampung aliran air.

“Ahli Parlimen sudah tentu bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan. Tanpa perancangan holistik, kerajaan terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk membaik pulih infrastruktur yang rosak,” katanya ketika perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Sementara itu, katanya cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342 pindaan 2021) yang kini ditangguh, tidak lagi relevan untuk diteruskan.

Beliau berkata, keadaan sekarang menunjukkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri telah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada pesakit yang dijangkiti Covid-19.

Katanya, RUU itu tidak perlu diteruskan kerana rakyat harus bersedia untuk hidup bersama Covid 19.

“Jika bergejala sama ada demam atau batuk, buatlah ujian kendiri dan pergi ke klinik untuk mendapatkan bantuan kesihatan,” katanya.

Abdul Latiff berkata, langkah kerajaan mengadakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula Februari tahun lalu, terbukti berjaya membendung penularan wabak itu.

Katanya, ternyata keberkesanan vaksin melawan Covid-19 sangat baik walaupun kini kes kembali meningkat, namun kes tahap empat dan lima sangat sedikit. – HARAKAHDAILY 8/3/2022

- Advertisement -