Zelenskyy kritik NATO gagal wujudkan zon larangan terbang

- Advertisement -

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, dalam nada penuh emosi mengkritik Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kerana enggan mengenakan zon larangan terbang yang sekali gus memberi ruang sepenuhnya kepada Rusia meningkatkan serangan udara.

“Semua rakyat Ukraine yang mati mulai hari ini dan seterusnya, akan menemui ajal kerana kamu, kerana kelemahan kamu, kerana kekurangan perpaduan kamu.

- Advertisement -

“Pakatan (NATO) telah memberi lampu hijau kepada pengeboman bandar dan kampung di Ukraine dengan enggan mewujudkan zon larangan terbang,” katanya.

Semalam, NATO menyatakan pendirian enggan mengenakan zon larangan terbang dengan memberi amaran bahawa tindakan demikian boleh mencetuskan perang lebih meluas di Eropah, menentang Rusia yang mempunyai senjata nuklear.

“Apa yang pakatan mampu lakukan hari ini ialah meluluskan pemerolehan 50 tan bahan api diesel untuk Ukraine. Mungkin supaya kita boleh membakar Memorandum Budapest,” kata Zelenskyy merujuk kepada jaminan keselamatan 1994 kepada Ukraine sebagai pertukaran kepada penarikan senjata nuklear era Soviet.

“Anda tidak akan dapat membayar kami dengan setiap liter bahan api untuk setiap liter darah kami yang ditumpahkan untuk Eropah,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Ukraine akan terus menentang dan telah memusnahkan rancangan Rusia untuk menceroboh negaranya dengan pantas, menjadikan sembilan hari yang berlalu dengan kegelapan dan kejahatan.

“Kami adalah pejuang cahaya. Sejarah Eropah akan mengingati ini selama-lamanya,” katanya. – TRTWORLD

- Advertisement -