PONTIAN: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru rakyat Johor memilih Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau berkata, Perikatan Nasional telah terbukti melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat sejak mula mengambil alih pentadbiran negara sebelum ini.
“Kita harap orang Johor pilih Perikatan Nasional. Pilih wakil Perikatan Nasional, parti yang tak berjanji tapi buat kerja.
“Sebaik kita ambil alih kerajaan, kita buat kerja selesai masalah Covid-19, beri bantuan kepada rakyat tanpa kita berjanji,” ujarnya ketika berucap pada majlis ceramah di Bilik Gerakan Perikatan Nasional DUN Pulai Sebatang, di sini, malam tadi.
Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS negeri yang juga calon Perikatan Nasional di DUN Pulai Sebatang, Ustaz Abdullah Husin.
Katanya, para pengundi perlu memilih calon Perikatan Nasional untuk menjadi wakil rakyat yang dapat menyampaikan hasrta rakyat di dalam Dewan Undangan Negeri.
“Pilih wakil rakyat, jadi wakil kita dalam DUN untuk rercakap bagi pihak kita, yang betul dia sokong, yang salah dia bangkang, tegur.
“Ini makna wakil rakyat, jangan kita ingat tak ada tanggungjawab,” ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional.
Beliau juga menyeru pengundi supaya memilih wakil rakyat mengikut pertimbangan yang betul supaya tidak mendatangkan masalah kepada rakyat.
“Bila pilih wakil rakyat ikut suka, ikut selera bukan ikut akal yang betul, memusnahkan diri kita sendiri, ulang benda-benda lama, kesilapan yang lama, benda tak betul dia sokong, tak berani, kita terima padahnya kerana salah mengundi,” katanya.
Tuan Guru turut mengingatkan para pengundi supaya ‘merehatkan’ Barisan Nasional daripada terus memerintah.
Menurutnya, BN yang sudah memerintah 60 tahun menunjukkan banyak kelemahan.
“BN sudah lemah biar dia ‘rehat’ dulu kerana dia sudah menunjukkan kelemahan, sudah 60 tahun
“BN Umno sudah memerintah 60 tahun. Mengikut adatnya kalau manusia 60 tahun sudah tua, sudah lemah, mengalami kelemahan, maka berlakulah kelemahan-kelemahan, berlaku rasuah, salah laku, penyelewengan dan macam-macam,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.
Beliau menjelaskan PRN yang diadakan ini bukan berpunca daripada Perikatan Nasional.
“Wabak Covid-19 yang belum tamat lagi berlaku PRN Melaka bukan sebab kita, sebab Umno. Berlaku (PRN) di Johor Umno juga buat, terpaksa buat pilihan raya, lepas satu negeri satu negeri.
“Lepas ni kita tak tahu negeri mana dia nak buat pilihan raya pulak, menyusahkan rakyat, tak sempat nak tunggu lima tahun.
“Oleh kerana dia tarik diri dari kerajaan, kerajaan jatuh. Kena buat pilihan raya, kita kena masuk pilihan raya. Maka rakyat berkewajipan memilih pemimpin-pemimpin baru, wakil rakyat baru untuk memerintah negeri Johor,” katanya lagi.
Pada PRN Johor kali ini, Perikatan Nasional bertanding di semua 56 kawasan DUN melibatkan 33 calon daripada Bersatu, PAS (15) dan Gerakan (lapan).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 5/3/2022