Saya kat sini bukan duduk diam – Cikgu Selamat

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

PENGERANG:
Calon Perikatan Nasional bagi DUN Tanjung Surat, Selamat Ujud berkata, beliau banyak melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di kawasan DUN itu.

Sehubungan itu, ujarnya pihak Umno merasa bimbang apabila beliau dicalon untuk bertanding di DUN Tanjung Surat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

“Saya kata kawasan ini mereka (Umno) bimbang dengan kawasan ini, sebab mereka tahu saya kat sini bukan duduk diam.

- Advertisement -

“Saya cikgu, dan Pengerusi NGO Khidmat Penggerang, kita terlibat dalam bantuan misi banjir, Covid-19, bantuan kotak makanan, boleh tengok Khidmat Pengerang punya Facebook, kita masukkan aktiviti

“Maknanya mereka bimbang kerana, saya orangnya bergerak, bukan orang yang tiba-tiba timbul,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Cikgu Selamat kepada Harakahdaily, di sini.

Menurutnya, beliau sudah bergerak lama dalam Khidmat Malaysia dan menjadi bendahari Khidmat Malaysia negeri.

“Saya juga ada projek usahawan, ternakan. Daripada mula saya datang, saya buat projek ternakan, lembu dengan kambing sampai orang panggil Cikgu Lembu.

“Tetapi saya tiada hal, dalam pada saya Cikgu Lembu pun, kita bertugas pada jabatan kita, kita mendapat anugerah cemerlang,” ujarnya yang juga guru pakar matematik.

Sehubungan itu, beliau adalag orang yang dikenali di kawasan DUN Tanjung Surat.

Dari segi gerak kerja pilihan raya, beliau yang mempunyai lori sendiri memudahkan urusan berkempen.

“Jadi, dari segi projek perniagaan saya itu, menyebabkan saya bekalkan lembu korban, daging akikah di kawasan ini, banyak la orang Umno semua order dengan kita.

“Apabila nama saya naik, memang satu kegemparan pada mereka, kalau dulu nama siapa pun naik, letak siapa-siapa pun, mereka tak kisah, kali ini mungkin dia hairan sikitlah,” ujarnya yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengerang.

Tambahnya, DUN Tanjung Surat adalah kawasan Umno yang agak tebal, maka Cikgu Selamat hendak mendapatkan pengundi mestilah melalui bekas-bekas Umno.

Bahkan, beliau pernah bergerak dengan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Pengerang yang merupakan satu bonus kepada beliau.

“Dan aktivis NGO yang rapat dengan Umno, telah masukkan saya dalam kumpulan WhatsApp dia dan masukkan macam-macam bahan kempen. Antara bahan kempen dan biodata saya, ucapan ringkas saya, wawancara dengan media, memang panas la suasana itu,” ujarnya lagi.

Cikgu Selamat berhadapan dengan calon Pejuang, Samat Atan, Aznan Tamin (BN) dan Rosman Tahir (PKR) pada PRN Johor kali ini,

Pada PRU15 lalu, kerusi DUN Tanjung Surat dimenanngi oleh Syed Sis Abd Rahman daripada BN dengan majoriti 4,522 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac mengundi PRN Johor manakala pengundi awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 5/3/2022

- Advertisement -