Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB bincang Ukraine, Isnin ini

- Advertisement -

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tergempar, Isnin ini, bagi membincangkan krisis kemanusiaan di Ukraine akibat pencerobohan Rusia.

Selepas sesi awam itu, 15 ahli Majlis Keselamatan akan mengadakan mesyuarat secara tertutup untuk membincangkan kemungkinan draf resolusi.

- Advertisement -

Mengikut sumber diplomat di PBB, mesyuarat yang dicadangkan oleh Mexico dan Perancis, berusaha untuk mengemukakan draf yang meminta supaya persengketaan di Ukraine segera ditamatkan, membenarkan bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan dan melindungi orang awam.

Bagaimanapun seorang diplomat memberitahu bahawa, usaha ini berdepan halangan apabila Amerika Syarikat (AS) memberi amaran tidak akan menyokong draf demikian melainkan ada kenyataan secara jelas bahawa Rusia sebagai punca krisis kemanusiaan.

Perancis pada mulanya mahukan pengundian diadakan pada Selasa lalu, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Diplomat berkata, Perancis kini mengubah pendekatan dan tidak lagi mendesak pengundian dengan cepat seperti sebelum ini berikutan kritikan AS.

Pada masa sama, mana-mana draf resolusi yang mengkritik Rusia juga tidak mempunyai sebarang makna kerana negara itu mempunyai kuasa veto di Majlis Keselamatan. – AFP

- Advertisement -