Perang Ukraine dedah sikap hipokrit Barat terhadap Palestin

- Advertisement -

KETIKA ini situasi konflik Ukraine-Rusia telah bertambah buruk dengan pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine sudah masuk hari kelapan. Beberapa bandar di Ukraine seperti Kherson telah jatuh ke tangan tentera Rusia dengan dilaporkan bahawa tentera Rusia sudah mula menghampiri Kviy, ibu negara Ukraine.

Semuanya bermula apabila Rusia mula menghantar sejumlah lebih 100,000 anggota tenteranya di sempadan Ukraine berikutan Barat terutamanya Amerika Syarikat dan NATO tidak memenuhi tuntutan Rusia agar tidak menerima bekas negara Soviet Union sebagai anggota NATO.  Keadaan menjadi lebih tegang apabila dipercayai Ukraine telah memohon untuk menjadi anggota NATO.

Situasi tegang tersebut terus memuncak apabila Presiden Rusia Vladmir Putin mengisytiharkan dua wilayah di timur Ukraine iaitu Luhanks dan Donetks sebagai wilayah bebas dan kemudiannya menandatangani perjanjian kerjasama keselamatan dengan dua wilayah tersebut yang seterusnya menyaksikan tentera Rusia mula memasuki Ukraine sepertimana yang berlaku ketika ini.

Reaksi Barat sehingga ke hari ini adalah dengan mengenakan sekatan ekonomi menyeluruh yang cukup ketat ke atas Rusia, membekalkan lebih banyak senjata kepada Ukraine, menghalang Rusia daripada menggunakan ruang udara banyak negara Eropah dan banyak lagi sekatan-sekatan ketat lain yang dikenakan ke atas Rusia.

- Advertisement -

Terbaharu, Ukraine dengan sokongan Amerika Syarikat, Britain dan sekutunya telah membawa kes “jenayah perang“ ke atas  Rusia berikutan pecerobohannya terhadap Ukraine ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di mana Ketua Pendakwaraya ICC, Karim Khan mengesahkan bahawa ia telah mula menyiasat dakwaan tersebut.

Persatuan-persatuan sukan utama dunia seperti FIFA, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan FIA telah menggantung Rusia dan atletnya dari menyertai sebarang acara sukan yang dianjurkan di seluruh dunia.termasuk Sukan Paralimpik 2022 Bejing yang sedang berlangsung ketika ini.

Bank Dunia juga turut bersama dalam sekatan ini dengan menggantung segala aktivitinya dengan Rusia berkuatkuasa serta merta. Boleh dikatakan ketika ini Rusia berhadapan dengan pelbagai bentuk sekatan daripada segenap penjuru di seluruh dunia terutama di kalangan negara-negara Barat dan sekutu-sekutunya.

Pelbagai bentuk sumbangan sama ada berbentuk wang ringgit dan bantuan kemanusian dianjurkan untuk membantu Ukraine di mana ia dilaporkan telah mencecah puluhan juta dollar. Kesatuan Eropah turut menyumbang $1.2 billion Euro dan Bank Dunia turut menyumbang sebanyak $350 juta dollar dalam usaha untuk meringankan beban yang ditanggung oleh Ukraine dan warganya.

Ketika ini juga dilaporkan Ukraine telah menjemput warga dunia datang ke Ukraine untuk berjuang bersama anggota tenteranya bagi menghalang pencerobohan Rusia yang mendapat sambutan terutamanya dari kalangan warga negara-negara Barat dan sekutunya.

Malah Setiausaha Luar Britain Elizabeth Truss dalam kenyataannya baru-baru ini menyatakan beliau akan memberikan sokongan terhadap mana-mana rakyat Britain yang akan ke Ukraine untuk berjuang bersama rakyat dan tentera Ukraine dalam usaha untuk menentang pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine.

Namun berlainan pula dengan isu Palestin yang sememangnya sekian lama dianaktirikan oleh Amerika Syarikat, Britain, Kesatuan Eropah dan sekutu-sekutunya. Sejak Palestin diserahkan bulat-bulat oleh Britain dan Barat kepada zionis, janji Barat untuk membantu mahupun memerdekakan Palestin hanyalah palsu dan dusta semata-mata.

Regim zionis Israel semenjak dari penubuhan negara haram Israel pada 1948 mahupun ketika diserahkan Palestin kepada zionis dan pendatang haram yahudi berikutan Perjanjian Balfour 1917 selepas perang dunia pertama telah diberikan ruang seluas-luasnya oleh Barat untuk bermaharajalela di bumi Palestin sehingga ke hari ini.

Palestin adalah sebuah negara berdaulat dan merdeka dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negaranya sebelum perang dunia pertama. Palestin adalah sebuah negara pelbagai yang bukan sahaja didiami oleh majoritinya umat Islam tetapi juga turut didiami oleh penganut agama kristian dan yahudi selain dari pelbagai bangsa dan kaum yang berasal dari Asia Barat.

Kini Palestin dan warganya telah dijajah lebih daripada 70 tahun oleh rejim zionis Israel. Daripada sebuah negara, kini Palestin hanya tinggal lebih kurang 18 peratus daripada wilayah asalnya di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Tembok tinggi dibina oleh rejim zionis Israel di sekeliling wilayah yang dijajahnya untuk memisahkannya daripada warga Palestin.

Rumah, perkampungan dan bandar rakyat Palestin diceroboh, diroboh dan dirampas. Jutaan rakyat Palestin telah menjadi pelarian termasuk puluhan ribu telah terbunuh menentang penjajahan rejim zionis Israel. Pergerakan mereka dikawal dan diperhati, kehidupan mereka umpama hamba abdi dan segala kegiatan kehidupan seharian dan ekonomi mereka dikawal rejim zionis Israel.

Saban hari kita diberitakan tentang pembunuhan rakyat Palestin oleh rejim zionis Israel tidak kira tua dan muda termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas. Mereka ditindas dan dizalimi, kediaman, perniagaan, sekolah, institusi pengajian tinggi dan masjid setiap hari diceroboh dan diroboh dalam usaha untuk meluaskan lagi jajahan taklukan mereka ke atas Palestin.

Palestin tidak diiktiraf sebagai sebuah negara dan hanya diberikan status pemerhati di PBB, tidak sebagaimana negara haram Israel. Sebarang usaha untuk membawa pengiktirafan terhadap Palestin sebagai sebuah negara di PBB akan ditentang oleh negara haram Israel termasuk sekutu utamanya Amerika Syarikat dan negara-negara Barat.

Apa sahaja penentangan terhadap regim zionis Israel di PBB mahupun Majlis Keselamatan PBB akan dipatahkan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya. Segala resolusi PBB terhadap negara haram Israel dilanggar sewenang-wenangnya oleh rejim zionis Israel sambil disokong oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Barat.

Usaha-usaha untuk membawa regim zionis Israel ke muka pengadilan terutamanya di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas perlakuan jenayah perang akan dihalang dan ditentang habis-habisan oleh rejim zionis Israel dan sekutu-sekutunya terutamanya dari kalangan negara-negara Barat.

Kuasa pentabiran yang diberikan terhadap Pihak Berkuasa Palestin sejak dahulu lagi tidak mempunyai apa-apa makna kerana kuasa sebenar terletak di bawah rejim zionis Israel. Palestin tidak dibenarkan mempunyai tentera mahupun senjata kerana mengangkat senjata ke atas rejim zionis Israel akan dianggap sebagai penjenayah dan pengganas.

Kumpulan-kumpulan pejuang dari kalangan rakyat Palestin yang berusaha untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan regim zionis Israel dianggap pengganas. Mana-mana individu, kumpulan dan pertubuhan terutamanya dari luar negara yang cuba berjuang dan membantu memerdekakan Palestin akan dilabel sebagai pengganas sama ada oleh regim zionis Israel mahupun oleh negara-negara Barat.

Lebih memalukan bagi Barat ialah apabila mereka tanpa segan silu membantu rejim zionis Israel dengan memberikan bantuan kewangan berjumlah berbillion dollar setahun untuk melengkapkan persenjataan mereka yang sememangnya digunakan untuk menzalimi, menyerang, mencederakan dan membunuh puluhan ribu warga Palestin.

Bank-bank utama mereka pula memperuntukkan wang berjumlah ratusan juta dollar untuk membina penempatan haram buat orang – orang yahudi di wilayah Palestin yang dijajahnya. Syarikat-syarikat multinasional Barat pula menderma sejumlah besar wang bagi membantu pendatang haram yahudi berhijrah ke negara haram Israel.

Media-media Barat saban hari memanipulasi dan menyebarkan propaganda dengan mengambarkan rakyat Palestin sebagai pengganas dan mengancam keselamatan serta kewujudan negara haram Israel sedangkan rejim zionis Israel dan pendatang haram yahudi adalah penjajah dan pengganas yang merampas bumi Palestin disamping bermaharajalela bertindak ganas saban hari ke atas warga Palestin.

Pelbagai bantuan negara-negara Islam, individu dan organisasi terhadap rakyat Palestin disekat oleh regim zionis Israel dan Barat. Rakyat Palestin dibiarkan terseksa, ketinggalan dan mundur dari segenap sudut oleh rejim zionis Israel dan Barat. Inilah sikap hipokrasi dan “double standard“ Barat terhadap Palestin.

Persoalan utamanya, adilkah Barat dalam menangani isu Palestin jika dibandingkan dengan apa yang berlaku saat ini dengan Ukraine? Apakah yang membezakan Palestin dengan Ukraine hingga Barat tidak mampu berbuat perkara yang sama terhadap Palestin sebagaimana yang dilakukan kepada Ukraine?

Mengapa Barat tidak mengenakan sekatan ekonomi yang cukup ketat dan berat terhadap rejim zionis Israel? Mengapa Barat cukup cepat bertindak terhadap apa yang berlaku di Ukraine sedangkan isu Palestin sudah lebih 70 tahun berlarutan tanpa apa sebarang penyelesaian?

Mengapa Barat tidak memulaukan regim zionis Israel dan tidak mengenakan sekatan dalam pelbagai bentuk sebagaimana yang dikenakan ke atas Rusia ketika ini ke atas regim zionis Israel?

Mengapa Barat tidak mengenakan sekatan ke atas individu dan syarikat yang membantu regim zioins Israel dan kewujudannya termasuk membekukan kewangan serta merampas dan membekukan aset sebagaimana Barat mengenakan sekatan ke atas syarikat dan ahli perniagaan Rusia?

Mengapa Barat tidak mengenakan sekatan ke atas negara yang menyokong dan membantu rejim zionis Israel ke atas kelangsungan penjajahannya ke atas bumi Palestin sebagaimana tindakan yang dikenakan ke atas Belarus yang membantu Rusia?

Adakah Barat bersikap “double standard“, berkepentingan dan bermuka-muka di sebalik laungan demokrasi, memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan untuk semua?

Sekali imbas, Barat sebenarnya memang begitu.

Kita tidak menyokong keganasan, kita juga tidak menyokong sebarang bentuk pencerobohan terhadap mana-mana wilayah mahupun negara apatah lagi perlakuan keganasan yang mengakibatkan terhapusnya ketamadunan negara, masyarakat dan manusia. Sewajarnya Rusia menghentikan pencerobohan terhadap Ukraine dan menyelesaikan kemelut yang melanda secara diplomasi kerana akibatnya kelak adalah terlalu buruk.

Namun dalam masa sama, media-media Barat usah bersikap hipokrit dan berat sebelah terhadap Palestin. Berikan seluas-luasnya ruang kepada isu Palestin untuk dilihat di seluruh dunia dengan memaparkan betapa kejamnya regim zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Ketika ini dilihat ramai yang bersolidariti bersama Ukraine dalam menentang pencerobohan Rusia ke atasnya tetapi dalam masa yang sama ramai di seluruh dunia mula sedar sikap hipokrit dan “double standard“ Barat terhadap isu Palestin dengan mula mempersoalkan tindakan dan perilaku Barat.

Usah dihamburkan pelbagai lagi alasan dan ulasan kerana apa yang berlaku hari ini jelas menampakkan Barat hanya bermulut manis, bersikap “double standard“ dan penuh hipokrasi  apabila ianya melibatkan Palestin dan warganya.

Sudah berpuluh tahun isu Palestin berlarutan, sampai masanya rejim zionis Israel harus dipulaukan, dihukum dan dikenakan pelbagai sekatan yang ketat termasuk ke atas negara, individu dan organisasi yang menyokong dan membantu kelangsungan kewujudan negara haram tersebut.

Namun yang paling utama ialah perubahan sikap serta kesatuan umat dan negara Dunia Islam. Umat dan Dunia Islam harus bersatu menyokong dan membantu perjuangan rakyat Palestin untuk memerdekakan bumi Palestin. Perpecahan yang berlaku ketika ini turut menjejaskan perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin.

KhalilHadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi

Palestin adalah kemuncak penyatuan umat dan Dunia Islam. Hentikan perbalahan dan peperangan sesama sendiri. Carilah titik persamaan dan kedamaian atas nama Islam. Jika umat dan Dunia Islam mampu bersatu seterusnya memerdekan bumi Palestin, Islam akan bangkit dan seterusnya mampu menjadi satu kuasa yang amat dihormati dan disegani di seluruh dunia.

Semoga perjuangan Palestin, keadilan dan kesaksamaan akan menang jua akhirnya.

Islam Menyatukan Umat

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 5/3/2022

- Advertisement -