Beri peluang Perikatan Nasional buat perubahan di Johor

Ustaz Abdulah Husin (kiri) menziarahi penduduk di DUN Pulai Sebatang.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

JOHOR BAHRU:
PAS mengharapkan rakyat memberi peluang kepada Perikatan Nasional untuk membuat perubahan besar kepada negara khususnya di negeri Johor.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdullah Husin berkata calon-calon daripada parti itu yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mampu melakukan perubahan tersebut.

“Kita mengharapkan kali ini rakyat dapat beri peluang kepada kita sebab kita menonjolkan tokoh yang boleh memberikan satu perubahan yang besar kepada masyarakat dan negara,” ujarnya kepada Harakahdaily, di sini

- Advertisement -

Beliau juga melahirkan keyakinan berlaku perubahan paradigma dalam kalangan rakyat dengan suasana yang berlaku sekarang.

“Barang kali pengundi dan rakyat dapat melihat peranan PAS dengan lebih menyerlah,” ujarnya yang bertanding di DUN Pulai Sebatang.

Selain beliau, 14 lagi calon Perikatan Nasional daripada PAS ialah Roslan Nikmat (Tenggaroh), Dr Abd Karim Deraman (Tiram), Ustaz Ahmad Naufal Mahfodz (Parit Yaani), Ustaz Azlisham Azahar (Machap), Khairul Faizi Ahmad Kamil (Senggarang), Maimunah Safwah Musa (Jementah), Nur Iqbal Razak (Bukit Pasir), Ustaz Rahmat Daud (Serom), Normala Sudirman (Kemelah), Ustaz Zarul Salleh (Simpang Jeram), Haji Selamat Ujud (Tanjung Surat), Abdul Aziz Talib (Maharani) dan Halim Kepol (Sri Medan).

Mengenai peratus keluar mengundi pada PRN Johor kali ini, Ustaz Abdullah melahirkan keyakinan lebih tinggi daripada PRN Melaka.

“Setakat ini kita rasa ada peluang peratusan keluar mengundi lebih banyak berbanding Melaka, sebab semangat membuat perubahan.

“Kita yakin kali ini jumlah yang keluar mengundi lebih tinggi, kalau pun tak banyak, tetapi lebih tinggi daripada PRN Melaka,” katanya lagi.

Tambahan pula, ujar beliau pengundi baharu yang pertama kali mengundi yang tidak sempat mengundi pada PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian PRN Johor manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 1/3/2022

- Advertisement -