Ibrah Israk Mikraj: Di sebalik solat ada kekuatan

- Advertisement -

BANYAK ibrah yang dapat kita pelajari melalui kisah perjalanan agung Nabi Muhammad S.A.W dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (Palestin) seterusnya diangkat sehingga ke Sidratul Muntaha yang mana melepasi langit ke-7. 

Melalui peristiwa inilah bermulanya pensyariatan ibadah solat fardu kepada seluruh umat Islam sebanyak lima kali sehari. 

- Advertisement -

Setelah Baginda S.A.W melalui segala kesedihan iaitu kematian isteri dan bapa saudara, dakwahnya ditolak serta dicaci, Allah S.W.T menghadirkan satu motivasi pertama buat Baginda S.A.W iaitu melalui solat dan Baginda S.A.W juga mengimamkan solat bersama para Nabi di Masjidil Al-Aqsa. 

Di sebalik solat itu adanya kekuatan. Peristiwa ini mengajarkan kita bahawa sebesar mana ujian dan musibah yang menimpa, jadikan solat sebagai keutamaan dan sumber kekuatan jiwa. 

Mendirikan solat adalah salah satu cara untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat sebagaimana terkandung dalam lafaz azan ‘hayya ‘alal falah’ bermaksud ‘marilah menuju kejayaan.’ 

Malangnya hari ini masih ramai yang mengabaikan solat malah ada yang tidak mengendahkan solat atas alasan terlalu sibuk. 

Sempena Israk Mikraj pada kali ini saya menyeru marilah bersama memperelokkan ibadah solat lima waktu. Semoga kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. 

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya perkara pertama yang akan dinilai pada hari akhirat daripada amalan seseorang hamba itu ialah solat. Jika baik solatnya, maka dia akan berjaya dan selamat, sekiranya buruk solatnya, maka dia akan menyesal dan rugi.”

(Hadis Riwayat Tirmizi)

YAB DATO’ SERI MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar
Kedah Darul Aman – HARAKAHDAILY 28/2/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/577541902629776/posts/1576331406084149/

- Advertisement -