Letupan lombong arang batu Colombia: 11 terbunuh

Pelombong dirakam di lokasi kejadian letupan di lombong arang batu di Tasco, Colombia pada 27 Februari, 2022 (FOTO AFP)
- Advertisement -

BOGOTA: Satu letupan besar berlaku di sebuah lombong arang batu di wilayah Boyaca, Colombia mengorbankan 11 orang dan menyebabkan empat yang lain hilang.

Agensi Perlombongan Kebangsaan (ANM) Colombia dalam kenyataannya pada Ahad (27 Feb) berkata, tragedi itu berlaku pada lewat malam Sabtu (26 Feb)  dan berpunca daripada pengumpulan gas metana di lombong itu, yang terletak di kawasan perbandaran Tasco.

- Advertisement -

Selain dikendalikan syarikat multinasional, industri perlombongan di Colombia turut dikendalikan secara haram dan jumlahnya mencecah ratusan. 

Insiden dalam sektor perlombongan kerap berlaku di negara itu kerana sesetengah pengendali lombong bahan galian khususnya arang batu menyalahi undang-undang, atau tidak menguatkuasakan langkah keselamatan dengan betul.

“Lombong yang meletup di Tasco ini mempunyai kelulusan untuk beroperasi,” ujar kenyataan ANM. 

Pasukan penyelamat dan bomba bagaimanapun  bimbang  dengan nasib empat orang yang masih hilang yang dikhuatiri turut terkorban dalam kejadian itu.

Colombia menyaksikan 128 insiden dalam industri perlombongannya pada tahun lepas, yang mengorbankan 148 orang. Sehingga 28 Feb tahun ini, sebanyak 19 kemalangan dalam industri perlombongan telah berlaku di negara itu dengan 36 kematian – AFP

- Advertisement -