Krian: Gelombang kedua PAS

- Advertisement -

SEJARAH perjuangan Islam di Perak penuh ranjau. Walaupun nama Dato’ Maharajalela tercatat sebagai pejuang kemerdekaan, namun butir peribadi beliau sebagai orang Alim Perak disembunyikan. Gelaran Dato’ Maharajalela ‘panchong ta’ bertanya’ diberikan kepada ayahnya Raja Sedili yang dimasyhurkan gelaran itu sebagai Mufti Perak. 

Lela Pandak Lam yang terlibat dengan pembunuhan J.W.W Birch mewarisi gelaran Orang Besar Lapan Perak itu dari ayahnya. Beliau melaksanakan titah Sultan Abdullah melalui amuk Si Puntum yang menetak Birch di Pasir Salak.  

- Advertisement -

Selain Pasir Salak, Gunung Semanggol juga mencatatkan sejarah penubuhan Hizbul Muslimin yang kemudiannya diharamkan penjajah British. ‘Bahaya Dari Gunung’ adalah istilah yang dipopularkan merujuk bahaya kelahiran parti Islam Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol.  

Gunung Semanggol terus menjadi pusat kebangkitan perjuangan Islam di Perak. PAS yang menyambung perjuangan Hizbul Muslimin terus subur di bumi Semanggol. Ehya Assyarif kekal menyimpan sejarah kebangkitan perjuangan Islam di Perak dan Malaysia amnya. 

Sejarah mencatatkan ADUN Gunung Semanggol iaitu Ustaz Baharudin Abd Latif adalah Pesuruhjaya PAS ketiga (1963-1967). Manakala Tuan Guru Ahmad Tuan Husin adalah Ahli Parlimen pertama PAS yang menang di Krian yang kini meliputi Parlimen Bagan Serai. Semanggol adalah sebahagian DUN dalam Parlimen Bagan Serai. 

Setelah beberapa kali pilihan raya, PAS masih berakar umbi di tinggalan Parlimen Krian yang kini meliputi Parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai. Parlimen Parit Buntar kekal kubu PAS walaupun Dr Mujahid Yusuf Rawa dari Pakatan Harapan (PH) kini, tetapi beliau pernah menang atas nama PAS sebelumnya. DUN Titi Serong juga sinonim dengan kerusi PAS beberapa kali.  

Di Semanggol, DUN itu adalah kerusi tradisi PAS dalam Parlimen Bagan Serai yang terdapat DUN Selinsing dan Alor Pongsu. PAS pernah menang di Selinsing PRU13 dan kekal di Gunung Semanggol dalam PRU14. YB Razman Zakaria yang juga Pesuruhjaya PAS Perak ke-10 mengekalkan kemenangan DUN Semanggol yang sebelum ini diwakili Almarhum Ust Zawawi Abu Hassan yang juga Setiausaha PAS Perak ketika itu.

Parlimen Bagan Serai dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dengan majoriti tipis 172 diikuti rapat calon Muslimat PAS dengan undi 17,048. Walaupun gelombang sokongan kepada PH khasnya untuk kerusi Parlimen, namun prestasi PAS Bagan Serai sangat membanggakan. Gelombang menolak BN dan menyokong PH tidak menghanyutkan PAS di Bagan Serai.  

Prestasi DUN dalam Parlimen Bagan Serai juga sangat membanggakan. Selain mengekalkan kerusi Gunung Semanggol dengan undi 7,444 (majoriti 1,903), Selinsing 5,070 ketinggalan 97 undi di belakang BN dan Alor Pongsu 5,394 ketinggalan 1,162 di belakang BN. 

Jika dicampur undi tiga DUN yang diwakili, PAS mendapat 17,908 mengalahkan undi BN dari tiga DUN iaitu 17,264. PH jauh ketinggalan di Bagan Serai walaupun melonjak seluruh negara. 

Jika undi kerusi DUN diambil kira, PAS menang di Parlimen Bagan Serai mengalahkan Umno dengan majoriti 644 undi jauh melebihi kemenangan Calon BN di Parlimen Bagan Serai dengan 172 undi. Ternyata pengaruh PAS tidak pernah surut di kerusi ‘sejarah Krian’ sebagai kerusi Pertama PAS di Malaysia. 

Dengan kerja keras ADUN Guhung Semanggol yang juga ahli Exco merangkap Pesuruhjaya PAS Perak, gelombang di Bagan Serai bukan hanya dapat dipertahankan, malah ia akan melonjakkan kemenangan luar biasa untuk PAS di Parlimen Bagan Serai. Cakap-cakap pengundi atas pagar adalah bukti nyata dan sambutan luar biasa terhadap program PAS di Bagan Serai tidak dapat dinafikan lagi.

Seawal memenangi DUN Gunung Semanggol, YB Razman telah menyatakan komitmen kemenangan PAS di Bagan Serai. Pelantikan sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri memudahkan khidmat PAS kepada rakyat Perak khasnya di Parlimen Bagan Serai yang memayungi DUN Gunung Semanggol.  

Walaupun tiada catatan kemenangan PAS di Parlimen Bagan Serai, namun hakikat Bagan Serai sebagai kubu PAS tidak boleh dinafikan sama sekali. Angka PRU14 yang merupakan gelombang tolak BN dan undi PH tidak berlaku di Bagan Serai yang mewarisi Krian sebagai kerusi pertama PAS Perak.

Ia petanda bahawa PRU15 hampir pasti milik PAS dan sejarah kebangkitan PAS di Parlimen Krian akan kembali sebagai pengulangan gelombang kemenangan PAS di Malaysia. Jika PAS menang di Bagan Serai, ia petanda gelombang sejarah kebangkitan PAS Malaysia sedang berlaku. 

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 17/2/2022

- Advertisement -