PBT perlu rancang projek kurang pelepasan karbon

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan disaran lebih kreatif bagi merancang membangunkan sesuatu projek bagi membantu mengurangkan pelepasan karbon di bandar-bandar utama.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, dua PBT melaksanakan projek mobiliti bagi penyediaan laluan pejalan kaki serta penyediaan buggy elektrik.

- Advertisement -

Selain itu membangun tempat hentian berbumbung panel solar di tempat peranginan terkenal di bawah PBT terbabit.

“Enam PBT pula menjalankan projek tenaga dengan menukar lampu jalan kepada lampu LED, di samping memasang lampu LED solar di tepi jalan di bawah pengurusan PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Townhall Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan yang dihadiri PBT seluruh negeri di sebuah hotel di sini semalam.

Menurutnya juga empat PBT melaksanakan projek sisa iaitu projek Black Soldier Fly melalui peruntukan Geran Gerak yang disalurkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Kata beliau skop program berkenaan terdapat lima elemen yang ditekan iaitu air, tenaga, sisa, mobiliti dan penghijauan.

Tuan Saripudin juga berkata, semua PBT di Kelantan menerima peruntukan sebanyak RM5,000 sebagai yuran pendaftaran bagi menyertai pertandingan Low Carbon City (LCC) 2030. – HARAKAHDAILY 17/2/2022

- Advertisement -