Kastam bongkar modus operandi sindiket rokok seludup

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas hampir 2.5 juta batang rokok seludup dalam serbuan di Kampung Telok, Pengkalan Chepa di sini, kelmarin.

Pengarahnya Mohd Nasir Deraman berkata, serbuan yang dilakukan pada jam 4 petang itu di sebuah rumah tidak bernombor.

- Advertisement -

Katanya, rumah berkenaan dipercayai dijadikan tempat transit barangan diseludup dari negara jiran.

“Semua rokok ditemui Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu tersimpan dalam 248 kotak dengan nilaian rampasan rokok RM496,000, manakala anggaran duti atau cukai berjumlah RM1,686,400,” katanya pada kenyataan semalam.

Menurutnya, modus operandi sindiket membawa masuk rokok seludup tersebut melalui Sungai Golok dan menjadikan rumah terbabit sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Nasir juga berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik rumah terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau juga berharap mendapat kerjasama orang ramai membantu mengekang penyeludupan dengan menyalur maklumat berkaitan kepada Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat. – HARAKAHDAILY 17/2/2022

- Advertisement -