Dato’ Che Lah ziarah polis mangsa amukan

- Advertisement -

TUMPAT: Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi telah menziarahi anggota dan pegawai polis yang menjadi mangsa kejadian amukan bersenjata tajam dalam kes di Kampung Sedar, di sini Sabtu lalu.

Lawatan beliau itu turut disertai Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri ke kediaman mangsa di Kompleks Perumahan Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, pagi semalam.

- Advertisement -

“Diharapkan kejadian yang berlaku ini akan membuka mata kita semua terutamanya netizen terhadap tanggungjawab serta tugasan berisiko dan genting yang digalas oleh semua barisan pihak polis Malaysia.

“Mereka sentiasa memastikan keamanan dan keselamatan masyarakat serta negara terus terpelihara. Didoakan juga semoga anggota dan pegawai berkenaan diberikan kesembuhan yang segera dan dipermudahkan segala urusan mereka,” ucap beliau.

Dalam kejadian tersebut, suspek berusia 42 tahun seorang penganggur dan dikatakan pesakit mental telah mengamuk dan melibas pisau panjang ketika serbuan pihak polis ke atasnya yang bertindak atas maklumat.

Namun, suspek tidak memberi kerjasama kepada polis sebelum melibas sebilah pisau sehingga menyebabkan pegawai serta anggota polis cedera pada bahagian kepala, belakang badan lengan dan tangan.

Mereka ialah Inspektor Chong Yeong Ren dan Inspektor Mohd Afifi Jamaluddin bersama dua anggota polis, Koperal Mohamad Firdaus Mohd Jamil serta Lans Koperal Muhammad Anuar Saidi Azmi yang kemudian dirujuk ke Hospital Tumpat untuk rawatan.

Tertuduh yang juga penganggur, Mohamad Azizi Seman ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamarul Hasyimie Rosli, kelmarin.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh didapati mengamuk selepas tidak mendapat wang untuk membeli dadah dan dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – HARAKAHDAILY 17/2/2022

- Advertisement -