Nazaha dedah butiran kes rasuah di Arab Saudi

Bangunan ibu pejabat Nazaha di Riyadh, Arab Saudi.
- Advertisement -

RIYADH: Pihak Berkuasa Pengawasan dan Anti Rasuah Arab Saudi, atau dikenali sebagai Nazaha, baru-baru ini telah mendedahkan butiran beberapa kes jenayah rasuah di Arab Saudi  yang dalam proses siasatan dan pendakwaan.

Dalam salah satu kes skandal rasuah terbesar di negara itu, seorang pekerja bank telah ditangkap kerana menerima suapan hadiah, yang termasuk perbelanjaan perjalanan dan penginapan daripada seorang warganegara dan seorang pemastautin, yang turut ditangkap, sebagai balasan kerana mendepositkan sebanyak SR7 juta (RM7.83 juta) daripada sumber yang tidak diketahui di akaun bank milik entiti komersial.

- Advertisement -

Menurut laporan badan penyiasat di Nazaha, sebanyak SR136 juta telah didepositkan oleh warga Saudi di bank-bank di kerajaan dan dipindahkan ke luar negara dalam tempoh lima bulan.

Dalam kes kedua, seorang pemastautin yang bekerja di firma perunding kejuruteraan di negara itu ditahan atas dakwaan menerima wang sogokan sebanyak SR400,000, daripada jumlah bayaran sebanyak SR2.8 juta, sebagai balasan untuk mengeluarkan lesen bagi pembinaan haram kompaun industri. 

“Skim itu turut membabitkan seorang pekerja di majlis perbandaran tempatan, yang ditangkap terbabit dalam skandal berkenaan dengan menerima wang suapan berjumlah SR1 juta,” ujar kenyataan Nazaha.

Satu lagi kes melibatkan seorang jurutera di sebuah syarikat komunikasi dan dua orang tengah yang ditangkap menerima wang sogokan sebanyak SR225,000 daripada bayaran SR450,000 sebagai balasan untuk melanjutkan kontrak pelaksanaan rangkaian antara syarikat dan entiti komersial, selepas jurutera terbabit menghantar e-mel mengancam penamatan kontrak, melainkan pembayaran telah dibuat.

Dalam kes berasingan, seorang warga Saudi ditangkap atas dakwaan menerima suapan wang sebanyak  SR162,000 sebagai balasan untuk mengurangkan penalti yang dikenakan oleh sebuah majlis perbandaran ke atas pengendali gudang. 

Penyiasat Nazaha turut mendapati bahawa penerima muktamad bayaran itu adalah pengurus hal ehwal teknikal di majlis perbandaran itu, yang ditangkap menerima bayaran daripada penduduk. Siasatan juga mendedahkan pengurus itu menerima SR1 juta sebagai balasan membantu pembelian hartanah haram.

Sementara itu, seorang pekerja majlis perbandaran Saudi  ditangkap atas dakwaan menerima SR150,000 sebagai sebahagian wang suapan daripada bayaran SR250,000 atasi balasan meluluskan lesen untuk bangunan yang dibina secara haram.

Satu lagi kes membabitkan seorang penduduk yang bekerja untuk sebuah pertubuhan amal sebagai penganalisis prosedur perubatan yang ditangkap dalam perbuatan itu menerima bayaran sebanyak SR15,000 kerana mengeluarkan kelulusan oleh pertubuhan itu untuk seorang penduduk menerima rawatan perubatan.

Nazaha berkata ia terus berusaha untuk mengenal pasti dan mendakwa sesiapa yang terlibat dalam penyelewengan dana awam, salah guna kuasa dan kedudukan untuk kepentingan peribadi, atau sebaliknya merugikan kepentingan awam. 

“Pesalah rasuah tetap akan didakwa biarpun selepas individu terbabit bersara kerana tiada statut pengehadan tempoh ke atas jenayah tersebut,” ujar kenyataan Nazaha. – Arab News

- Advertisement -