SINGAPURA: Thailand memang berminat untuk memiliki pesawat halimunan F-35, tetapi pembelian pesawat ini bergantung kepada kelulusan kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Naib Presiden Kanan Perniagaan Global Lockheed Martin, Tim Cahill, mengesahkan bahawa Thailand berminat membeli pesawat itu, tetapi menyatakan bahawa setakat ini, semuanya tidak rasmi.
Januari lalu, Thailand memperuntukkan AS$413 juta (RM1.7 bilion) untuk pembelian pesawat itu dengan Panglima Tentera Udara negara itu, Cif Marshal Napadej Dhupatemiya, berkata negaranya mahu membeli lapan pesawat F-35.
“Ini akan menjadi keputusan dasar kerajaan AS. Saya fikir ada janji di situ, tetapi secara jujur, saya tidak tahu apa yang kerajaan AS akan putuskan,” katanya di Pameran Udara Singapura di sini.
F-35 ialah antara pesawat pejuang canggih yang dikategorikan sebagai eksport yang sangat sensitif dan hanya dijual kepada sekutu AS paling rapat.
Di Asia Pasifik, hanya Australia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura, memiliki pesawat ini. – CNA