Perlu gerak kesedaran politik anak muda

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Gerakan kesedaran politik golongan muda perlu digembleng memandangkan mereka kurang cakna terhadap tanggungjawab memilih parti bagi membentuk kerajaan.

Ketua Pemuda PAS Malaysia Ahmad Fadhli Shaari berkata, usaha perlu dipupuk bermula di bangku persekolahan menerusi silibus pendidikan yang akan dirangka kerajaan.

- Advertisement -

Katanya kerajaan perlu ada perancangan rapi berhubung dengan pendidikan politik kerana ia satu perkara penting dengan kemunculan undi 18 tahun sekarang.

“Dahulu kita sering melaung-laungkan mengenai kesedaran daftar mengundi.
Alhamdulillah sekarang mereka tidak perlu daftar sebagai pengundi lagi.

“Pendaftaran sudah dilakukan secara automatik dan sekarang mereka perlu dipupuk kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab sebagai mengundi.

“Lagi pun sebelum ini ramai yang daftar sebagai pengundi, tetapi ramai yang tidak keluar mengundi,” katanya pada bicara melalui Facebook Legasi Tok Guru malam tadi.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan wadah utama bagi golongan belia yang akan menunaikan tanggungjawab kali ini.

Menurutnya juga hala tuju dasar kerajaan nanti akan bergantung kepada undi yang diberi pemilih pada setiap pilihan raya.

“Golongan belia pun tahu masa hadapan negara akan ditentukan melalui undi mereka bagi membolehkan sebuah kerajaan yang baik dapat dibentuk,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/2/2022

- Advertisement -