Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan majlis pelancaran jentera pilihan raya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 18 Februari ini.
Majlis yang akan diadakan di Kota Tinggi, dijangka dihadiri semua pemimpin utama parti yang menganggotai PN, iaitu PAS, Bersatu dan Gerakan.
Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin, berkata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, adalah antara pemimpin yang dijangka hadir.
Katanya, majlis pelancaran itu akan memperhebatkan momentum gerak kerja pilihan raya semua parti dalam PN yang sebenarnya sudah dimulakan.
“Walaupun belum sah lagi di kawasan mana kita akan bertanding, penyusunan dan gerak kerja seluruh jentera PAS sudah dimulakan,” katanya yang juga Naib Pengerusi PN Johor ketika dihubungi, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh PRN Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, manakala hari mengundi awal adalah 8 Mac. Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 11 Mac.
Mengikut Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Januari lalu, terdapat 2,597,742 pengundi di Johor, iaitu 2,574,835 pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis bersama pasangan, manakala 376 pengundi tidak hadir luar negara.
Abdullah berkata, Jabatan Pilihan Raya PAS Johor juga membuat pemantauan terhadap jentera pilihan raya parti setiap hari, termasuk pergi ke kawasan untuk mendengar taklimat dan memastikan gerak kerja pilihan raya berjalan lancar.
Buat kali pertama di PRN Johor, katanya hanya akan ada pusat operasi PN dan tiada lagi pusat operasi mengikut parti seperti dalam PRN Melaka.
“Perkara ini sudah diputuskan di peringkat pusat. Kita bersetuju kerana pusat operasi secara berasingan dari segi gerak kerja kurang berkesan, berbanding jika kita bergabung.
“Atas dasar semangat setiakawan PN, sesiapa pun yang bertanding di sesuatu kawasan, kita sejak awal sudah sedia bekerja memastikan calon PN berjaya,” katanya.
Mengulas pengagihan kerusi dan kawasan ditandingi dalam PRN Johor, katanya perkara itu belum 100 peratus selesai.
“Perundingan berjalan dengan baik dan ini membabitkan pimpinan peringkat pusat, cuma belum dimuktamadkan kerana masa masih panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/2/2022