Gejala ‘Mufti segera’

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, hari ini 25 Jamadilakhir 1443H merupakan hari Jumaat terakhir sebelum memasuki bulan Rejab. Saya berpeluang menyampaikan khutbah di Masjid Mahmoodiah, Presint 18 yang bertajuk ‘Mufti Segera.’

Di awal khutbah, saya menyebut mengenai tularnya satu video yang mendakwa bahawa seseorang Muslim itu tidak perlu menegur sesuatu kesalahan orang lain, mengeluarkan hukum dan mentafsir al-Quran mengikut pemahaman sendiri. Tindakan ini adalah bertentangan dengan perintah Allah S.W.T.

- Advertisement -

Sebagai Muslim, tugas amar ma’ruf dan nahi munkar merupakan tanggungjawab yang perlu kita laksanakan. 

Firman Allah (yang bermaksud): 

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

[Ali ‘Imran: 110]

Islam juga telah menggariskan panduan kepada kita agar menyerahkan sesuatu urusan itu kepada ahlinya, iaitu orang yang berkepakaran dalam bidang berkenaan lebih-lebih lagi dalam urusan agama yang melibatkan hukum. Bukan semua perkara boleh kita ulas.

Dalam urusan agama, kita mestilah merujuk ahli ilmu dan pihak berautoriti seperti JAKIM, Jabatan Mufti Negeri-negeri, dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri sebagai sumber autoriti dan tidak mengambil pandangan yang bercanggah. 

Setiap keputusan yang dibuat telah melalui beberapa peringkat perbincangan, kajian, serta perbahasan bagi menatijahkan sesuatu keputusan yang bertepatan dengan syara’ dan mengambil kira keperluan realiti semasa dan setempat yang berlaku. Ia bukanlah dibuat secara semberono.

Mengakhiri khutbah, saya mengingatkan diri saya sendiri dan sidang Jumaat agar tidak terlalu ghairah untuk mengulas apa jua isu yang timbul yang terkadang kita tidak ada ilmu untuk bercakap mengenainya.

Sesungguhnya kita bimbang rosaknya masyarakat kerana kita terlalu bermudah-mudah dalam agama. Sama-sama kita mengambil pengajaran daripada khutbah hari ini.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 28/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100050311487174/posts/492652532421792/

- Advertisement -