PAS beri fokus tinggi tangani isu sektor pertanian

LENGGONG: Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pusat telah mengenal pasti beberapa isu utama berkisar dalam industri padi seperti masalah biji benih, kenaikan harga input serta isu-isu bencana yang selalu menimpa sektor pertanian. 

Pengerusi LATAS PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim memberitahu, pihaknya telah membincangkan inisiatif untuk bantu para petani dan penternak bangkit kembali selepas daripada mereka berhadapan dengan bencana.

Advertisement

Dalam masa sama katanya, LATAS akan bergerak di peringkat nasional dalam mewujudkan hubungan dengan jabatan-jabatan kerajaan, NGO dan pihak-pihak berkepentingan untuk bersama menangani isu bersabit dengan pertanian dan alam sekitar.

Tambahnya juga, beberapa isu membabitkan alam sekitar turut dibincangkan dan LATAS akan turun membuat tinjauan, antaranya isu penternakan babi di Pulau Pinang, isu tambakan laut di Melaka dan beberapa isu lain.

“Jadi saya meletakkan supaya LATAS PAS Pusat ini boleh memainkan satu peranan penting dalam negara untuk dua tahun yang akan datang.

“Tambahan pula sektor ini ialah sektor yang diceburi oleh majoriti rakyat di Malaysia khususnya masyarakat Melayu-Islam, di mana masyarakat Melayu-Islam mereka berada dalam sektor pertanian, penternakan dan juga perikanan.

“Semoga amanah parti yang digalas ini menjadi satu amanah yang memberi manfaat kepada rakyat, insya- Allah,” ujarnya selepas Mesyuarat Pertama LATAS PAS Pusat di Dewan Mesyuarat Maahad Tahfiz al-Quran lid-Dakwah wal-Imamah, Kampung Luat, di sini baru-baru ini.

Beritahunya, banyak lagi saranan diputuskan, antaranya berharap supaya semua PAS Negeri dan Kawasan peka terhadap isu-isu yang berkisar kehidupan dan juga masalah melanda para petani di seluruh negara. 

“Dalam masa yang sama kita perlu bermentaliti sebagai sebuah kerajaan, bukan lagi bermentaliti sebagai sebuah parti pembangkang,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Menurutnya lagi, LATAS Negeri dan Kawasan perlu menjadi penghubung dengan jabatan-jabatan bagi pihak rakyat agar segala maklumat, skim dan juga bantuan insentif boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Beliau mengingatkan perlunya LATAS berada bersama masyarakat, selami kehidupan mereka dan fahami suka duka serta jerit perih dilalui dalam kehidupan seharian iaitu mencari rezeki dari sektor pertanian, perternakan dan juga perikanan.

Mesyuarat pertama tersebut kongsi beliau, telah menggariskan beberapa perkara sebagai hala tuju yang akan sama-sama digalas untuk tempoh dua tahun ke hadapan. 

Jelasnya, segala diputuskan akan dijadikan rangka kalendar pelan bertindak lajnah yang bakal dimuktamadkan dalam program pemukiman pada 25 hingga 27 Februari akan datang bertempat di Kedah.

“Pada program pemukiman itu kita akan merangka kalendar bertindak untuk setahun bagi LATAS PAS Pusat dan isu-isu yang dibangkitkan hari ini insya-Allah akan dibincangkan dan dihadamkan secara lumat dalam pemukiman itu. 

“Seterusnya kita akan mengemukakan beberapa kertas dalam bentuk pandangan balas daripada LATAS kepada pihak kerajaan bersabit dengan pelbagai isu dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan dan alam sekitar,” katanya. 

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Razman Zakaria dan Timbalan Exco Pertanian Negeri Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir serta Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Pengerusi LATAS Perak, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 20/1/2022