Berkebajikan: Masjid Kota Damansara hargai penyumbang

- Advertisement -

MASJID Kota Damansara pernah dianugerahkan Masjid Berkebajikan menerusi pencalonan penarafan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam Penilaian Standard Masjid Malaysia (SPMM) 2019. Untuk mendapat gambaran bagaimana konsep berkebajikan itu dilaksanakan, wartawan Harakahdaily, SYAHIRAH SALLEH dan NOR HAZWANI NOH, baru-baru ini berkesempatan menemubual Pegawai Pembangunan Asnaf Masjid Kota Damansara, USTAZ MUHAMMAD SAIFULLAH AHMAD.

HARAKAHDAILY: Bolehkah Ustaz ceritakan serba sedikit cetusan idea untuk menubuhkan masjid berkonsep kebajikan di Masjid Kota Damansara?

MUHAMMAD SAIFULLAH: Saya diamanahkan dalam bidang tugasnya sebagai Pegawai Pembangunan Asnaf. Perlu lihat semua, kita perlu ucapkan terima kasih banyak kepada pihak yang berusaha wujudkan bidang kerjaya ini.

Saya mula masuk 2015, ketika itu nama jawatan adalah Pegawai RnD yang mana akan buat penyelidikan dalam kebajikan merangkumi asnaf dan dalam skop lain juga, iaitu tugas-tugas khas. Tahun 2018, ditukar nama kepada Pegawai Pembangunan Asnaf.

Jadi kalau kata dalam usaha mewujudkan masjid berkebajikan tadi, itu sebenarnya nama atau anugerah yang Masjid Kota Damansara pernah terima.

Masjid Kota Damansara pernah dinobatkan dalam pencalonan penarafan di bawah JAKIM, kita dianugerahkan Masjid Berkebajikan dalam Penilaian Standard Masjid Malaysia (SPMM) 2019. Dinilai pada tahun 2020, tetapi diumumkan pada 12 Mac 2021.

- Advertisement -

Jadi konsep untuk jadikan Masjid Kota Damansara, masjid berkebajikan ini, kita nak ucapkan terima kasih kepada pihak yang pada 2014, cuba untuk wujudkan jawatan ini, Pegawai Pembangunan Asnaf.

Maksud saya, bukan pegawai yang perlu dinobatkan dalam pencapaian ini, tetapi orang yang mewujudkan jawatan ini dan faham dengan latar belakang anak qariah Masjid Kota Damansara yang kini mungkin sudah mencecah lebih 100,000 kepadatan dengan hanya 16km per segi Masjid Kota Damansara.

Kalau kira pecahan itu, agak padat dengan 16km persegi. Kalau kira unjuran dari Majlis Bandaran punya kepadatan, kita jangka penduduk orang Islam pun mungkin 60,000 ke 55,000 penduduk di sini.

Dengan kepadatan penduduk yang besar ini, jadi dengan kehidupan kos sara hidup yang makin meningkat dan kita di pinggir bandar ini, saya yakin kita di sini dengan kehidupan pinggir bandar tentu perlu berdepan dengan anak masyarakat atau kariah. Ramai asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan.

Di sini ada hampir 600 keluarga yang disahkan sebagai asnaf oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui Masjid Kota Damansara. Jumlah yang ramai untuk tempat kita yang kecil ini, Kota Damansara tidak besar, tetapi 600 asnaf hendak sama tanding dengan Sungai Buloh yang besar.

Tetapi kita boleh menyaingi dari sudut ramainya yang perlukan bantuan. Jadi, mungkin pihak sebelum ini dia nampak potensi bahawa perlu ada orang yang duduk untuk fokus fikir bagaimana untuk menjaga dari sudut membantu asnaf dan mereka yang memerlukan di sini.

Untuk huraikan bagaimana untuk jadikan Masjid Kota Damansara sebagai sebuah masjid berkebajikan itu, kita lihat daripada sana lagi, mereka sudah nampak keperluan untuk seseorang duduk dan fikir tentang kebajikan asnaf dalam pelbagai bentuk.

Kita di sini, sejak awal penubuhan pembangunan asnaf, kita letakkan empat perkara.

Pertamanya, kita jaga dari sudut pembangunan insan.

Kita pelbagaikan jenis bantuan, tabung dan dana kebajikan yang diterima itu kita tidak fokus untuk memberi bantuan kewangan.

Kita mulakan dengan keperluan dari sudut rohani dengan mempelbagaikan program yang berkonsep pembangunan insan.

Wujudnya program sebegini, sekarang kita sudah empat tahun menjadi masjid angkat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS), dan kita memperoleh dana daripada LZS untuk menguruskan program berkonsepkan pembangunan insan.

Biasanya dalam setahun, kita ada dalam 10 ke 12 siri program yang melibatkan dana mencecah RM20,000 hingga RM21,000.

Kemudian, keduanya barulah kita fokus untuk wujudkan bengkel dan kursus kemahiran yang boleh menjadi panduan kepada asnaf untuk membina kerjaya mereka.

Untuk fokus kedua, kita lakukan kerjasama dengan pelbagai pihak, antaranya Amanah Ikhtiar, Hijrah Selangor, kerajaan negeri, kerajaan pusat, serta kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kursus pembangunan kerjaya juga ada pelbagai, kita wujudkan akademi pengajian, akademi jahitan Masjid Kota Damansara, kursus patuh syariah melalui kerjasama dengan NGO dan banyak lagi pihak.

Ketiga, kita fokus kepada projek pembangunan sosioekonomi asnaf.

Untuk projek sebegini, peringkat awal kita belum bagi modal terus kepada mereka. Mereka akan dapat kursus dan bimbingan terlebih dahulu, kemudian apabila kita lihat mereka ada potensi dan bagus, barulah kita keluarkan sedikit modal.

Untuk modal, kita dapatkan kerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor serta syarikat lain yang boleh bagi modal untuk mereka mulakan perniagaan.

Contoh yang pernah kita jayakan, kita berjaya jadikan asnaf daripada zero sehingga boleh buat catering sendiri. Jadi dalam program ini ada yang sudah keluar dari status asnaf dan ada juga yang masih lagi asnaf. Ada yang buat muruku, ada yang buat kuih muih sejuk beku.

Kita juga rancang untuk buat kursus untuk servis pendingin hawa, tetapi setakat ini belum mula.

Dalam bentuk projek yang besar, kita juga buat cabin container, untuk pembangunan sosio ekonomi. Mereka boleh mula, belajar berniaga dan berniaga di situ, untuk buka kedai jahitan dan berbagai lagi.

Yang keempat, barulah kita fokus kepada program bantuan, di sini baru kita bantu untuk hulurkan bantuan.

Untuk Masjid Kota Damansara, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita perlukan anggaran kos sekitar RM4,000 ke RM5,000 setiap bulan.

Jumlah itu untuk tanggung program kita, sebab kita sudah ada program yang kita tetapkan.

Maksudnya setiap bulan, paling kurang kita perlu ada jumlah itu untuk merealisasikan program kebajikan di Masjid Kota Damansara.

Itu jumlah minimum yang kita perlu ada, kita ada program bantuan bulanan yang libatkan mencecah RM38,000.

Kita ada program setiap hari Sabtu, kita akan bagi bantuan kepada 30 keluarga asnaf setiap Hari Sabtu, setiap minggu sebelum PKP.

Kita wujudkan program ‘Hari ini anda infaq, esok kami serahkan.’ Caranya, kita buka kaunter infaq beras pada Hari Jumaat, hari Sabtu terus agihkan.

Boleh ustaz jelaskan kriteria pemilihan asnaf, kalau boleh berikan sedikit perincian dari peringkat awal dan jumlah asnaf yang berada di bawah Masjid Kota Damansara.

Jumlah asnaf, daripada saya masuk dulu memang sudah ada hampir 600 asnaf. Cuma dari pihak kita, apa yang boleh saya laporkan, ada penurunan jumlah asnaf pada 2018.

Kejayaan ini bukan dari pihak masjid sahaja, ia melibatkan semua pihak termasuk Zakat Selangor dan banyak lagi, dan kita yakin dan percaya, Masjid Kota Damansara juga ada sumbangan dengan penurunan jumlah asnaf, Alhamdulillah.

Cumanya, apabila masuk 2019, tahun menghadapi PKP sebelum ini, kita dapati dia semakin menaik semula jumlah asnaf. Itu yang asnaf, kita ada lagi yang ibu tunggal, anak yatim yang bukan asnaf, kita ada juga yang tidak layak asnaf tetapi perlu dibantu.

Berkenaan dengan kriteria itu, sebenarnya kita guna pakai kriteria sama yang ditetapkan oleh Mufti Selangor. Kriteria sama yang kita guna pakai untuk tentukan kelayakan asnaf, bukan asnaf tetapi perlu dibantu.

Kaedah yang digunapakai mudah, sebab kita tengok kepada jumlah pendapatan dan kita tolak kepada had kifayah dia.

Lihat dari sudut tanggungan dia, ada rumah atau tidak, dan rumah itu rumah sendiri atau sewa, belum habis bayar dan sebagainya, kaedah yang mufti dah tetap itu sangat memudahkan, kita pakai yang itu juga.

Jika dia bukan asnaf, tidak layak untuk bantuan Lembaga Zakat Selangor, kita cuba salurkan dia kepada tempat lain, seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), melalui masjid dan lain-lain.

Kriteria itu kita ikut dan guna apa yang telah ditetapkan, dan untuk makluman, kita sebagai amil qariah di bawah pembangunan asnaf, kita ada lapan orang sukarelawan yang juga membantu kita dari sudut untuk kenal pasti asnaf.

Sama juga apabila ada permohonan bantuan, Masjid Kota Damansara kita akan terus banci ikut kriteria tadi, jadi apabila dia layak asnaf, kita akan salurkan dia kepada Lembaga Zakat Selangor.

Jika dia tidak layak, kita akan lihat apa yang masjid mampu bantu ikut keperluan apa yang boleh dibantu. Bantuan diberi mengikut keperluan, sama ada dia perlu barang dapur, peralatan perubatan, katil dan sebagainya, kalau dia bukan asnaf.

Kalau dia asnaf senang kita salurkan dia kepada Lembaga Zakat Selangor, kita cadangkan bentuk bantuan yang diperlukan.

Adakah bantuan diberi secara bulanan?

Bergantung kepada bancian, Lembaga Zakat Selangor pun sama, dengan kita punya amil kariah, maknanya di bawah Masjid Kota Damansara, kita akan bantu banci dan kita akan cadangkan bantuan apa yang diperlukan sama ada dia layak untuk bantuan bulanan, contohnya bantuan kewangan, bantuan makanan bulanan, ataupun bantuan perubatan dan sebagainya.

Di Masjid Kota Damansara, jika dia asnaf, dari sudut barang dapur, kita akan bantu, tidak kiralah dia perlu sebulan sekali atau dua kali sebulan.

Bagaimana bantuan walk in ke masjid?

Yang itu memang kita akan bantu, ikut kepada keperluan. Tengok mendesaknya macam mana, kadang banyak kesnya kalau anak qariah ini, melibatkan gas, barang dapur, barang basah. Kita cuba elakkan bagi bantuan kewangan, kita elakkan sebab kita hendak pastikan sampai keperluan dia. Kalau dia hendak makanan, kita beri makanan, kalau mahu dapur gas kita salurkan ke kedai runcit berdekatan, jadi dia akan ambil dapur gas. Kita tak bagi duit.

Kalau dia bukan asnaf, ada masalah tunggakan elektrik dan sebagainya, kita akan bayarkan, kita tidak bagi duit pada dia. Kita akan elakkan, melainkan ada orang bagi sumbangan kewangan, yang itu kita proceed dan beri dalam bentuk kewangan, biasa kita utamakan asnaf kita dahulu. Kariah, anak kariah memang anak kariah, tetapi fokuskan lagi untuk asnaf.

Berapa anggaran pihak masjid untuk memberi sumbangan kepada asnaf dan daripada mana sumber sumbangan?

Dari sudut bantuan keperluan asas, paling kurang kena ada RM4,000 ke RM5,000 sebulan. Adapun untuk program lain yang tiga lagi itu, itu kita cuba dapatkan sponsor.

Kalau pembangunan insan kita sudah dapat daripada Lembaga Zakat Selangor, kalau untuk lain-lain kita buat kerjasama dengan NGO, kita buat kerjasama dengan syarikat sendiri, dan beberapa yayasan. Kita buat kerjasama dengan dia untuk realisasikan program-program kita.

Ada peluang kita akan buat dengan syarikat-syarikat dan untuk tabung masjid memang kita jaga supaya tak pernah putus bantuan dan barang asas barang dapur dan juga keperluan kecemasan, termasuk dari sudut kematian dan sebagainya.

Jadi kalau kata daripada mana dana ini, ada pelabgai. Kita alhamdulillah kerjasama kita dengan anak kariah, jemaah, persatuan-persatuan. Contoh terdekat, apabila kita buat sebarang untuk kutipan, insya-Allah memang anak kariah kita dan jemaah Masjid Kota Damansara ini amat membantu.

Antara contoh masa PKPD di Gugusan Semarak. Kita buka poster untuk buat kutipan pagi, kita target untuk dapat dalam jumlah RM6,000 macam itu, petang itu juga kita dapat kutipan penuh. Bahkan kita dapat tiga ke empat kali ganda daripada sasaran yang sepatutnya kita dapat. Jadi, kerjasama daripada anak kariah sangat membantu.

Tabung kita, walaupun masa PKP masjid tidak buka, tetapi itu bukan penghalang anak kariah kita menyumbang, jemaah kita menyumbang. Kita sekadar buat poster dan kita juga sekadar infaq Jumaat dan sebagainya, mereka ini transfer supaya kebajikan dapat diteruskan.

Sumbangan digerakkan pihak masjid atau ada team lain?

Semua ambil peranan, pegawai, AJK masjid, semua ambil peranan, termasuk nazir sendiri, semua ambil peranan untuk tularkan, sebab kita tiada cara lain. Apabila berdepan dengan PKP, sebelum PKP pun memang kita ambil peranan masing-masing, buat program, bukan program kebajikan sahaja.

Orang hendak lihat program dalam masjid ini berjalan, baru orang datang menyumbang, daripada sudut program kuliahnya, program pemuda, program muslimat dan sebagainya. Itu semua akan memberi kesan, orang akan nampak masjid aktif, so mereka akan membantu, bukan sekadar program kebajikan, semua program.

Selain daripada maklumat yang diberi zakat, ada cara lain tak untuk kenal pasti asnaf?

Yang itu kita akan buat biasanya kerjasama dengan surau-surau. Sebab surau-surau semua ada lajnah kebajikan. Jadi jika ada kes terpencil memang kita ada jaringan serta komunikasi yang baik antara pegawai masjid dan lajnah kebajikan surau. Tak semua surau, kalau surau tu surau Jumaat, kita bukan berlepas tangan, biasanya surau Jumaat ini sudah boleh berdikari dan berdiri dengan kaki sendiri, mereka sudah ada dana dan sebagainya.

Jadi, cuma tinggal kita fokus kepada surau yang bukan surau Jumaat, yang perlukan pemantauan yang lebih untuk asnaf sekitar.

Sekarang paras asnaf masih meningkat, sebab yang dulu bukan asnaf juga hilang pekerjaan dan sebagainya. Jadi ia memberi kesan kepada beberapa pihak, mungkin tidak semua yang terkesan, tetapi sebahagian besar memang terkesan.

Yang ada restoran pun tutup, yang ada kedai biasa pun tutup, tiada kerja tetap, buat perniagaan online dan sebagainya, bila dia punya keperluan dan komitmen tidak selari dengan dia punya pendapatan, jadi dia akan datang cari masjid dan juga Zakat Selangor.

Walaupun kita tengok kadang-kadang tidak menepati, maksudnya memanglah dia rasa dia tidak cukup, tetapi sebenarnya dari sudut pengurusan kewangan, kita akan nasihatkan dia.

Jadi tidak semua permohonan akan lulus. Memanglah permohonan itu nampak paras dia meningkat tetapi kita perlu pantau, untuk nasihatkan untuk semua yang memohon itu akan jadi asnaf.

Kadang ada setengah itu gaji RM3,000 hingga RM4,000, tetapi disebabkan komitmen dia tinggi, bila dia tidak cukup, dia rasa dia perlu dibantu, maka dia rujuk kepada zakat dan sebagainya.

Tetapi kita tidak tengok macam itu, kita tidak tengok komitmen dia, kereta, rumah, hantar anak ke sekolah pun sudah RM1,000 lebih macam itu, kemudian tiga dan empat orang anak.

Kita tidak tengok macam itu, kita tengok pendapatan dan juga had kifayah yang sudah ditetapkan oleh Mufti Selangor, kaedah kita mudah sahaja. Kalau dia tidak lepas yang itu, kita tak dapat dibantu, dia perlu urus dia punya kewangan, kita akan nasihatkan.

Ada nasihat kewangan dari masjid?

Biasanya tengok keperluan, kita nasihat itu supaya dia faham, sebab kita tak mahu dia viralkan pula, dia mohon tetapi tidak dibantu. Perlu fahamkan bagaimana konsepnya dan siapa yang layak untuk dibantu. Lebih-lebih lagi melibatkan dana zakat.

Memang masjid pun ada dana zakat juga, jadi apabila melibatkan dana zakat, kita tidak boleh bagi, kita kena fahamkan dia, sebab dia rasa dia layak. Jadi kita kena fahamkan dia, kenapa dia tidak layak, duduk dengan dia dan berbincang, tunjukkan cara pengiraan dan sebagainya. Maka, apabila dia faham barulah dia OK.

Jadi secara tidak langsung ada nasihat kewangan, tapi bukan bidang kita, cuma dari sudut psikologi, memang kita di Masjid Kota Damansara ada, macam masalah keluarga, dalam itu terselit juga masalah kewangan dan sebagainya. Masalah keluarga biasanya melibatkan imam, cuma asnaf biasanya akan jumpa saya dulu.

Pengurangan asnaf makan masa berapa tahun?

Secara rasmi tiada data, cuma kita nampak ada penuruanan. Kita sudah bantu dari sudut banyak program yang membolehkan mereka nampak peluang. Sebab kadang-kadang mentaliti, maksudnya bila dia sudah susah, bayangkan mana-mana tempat pun kalau pergi, mana masjid, mungkin dia akan bagi pandangan yang sama.

Apabila dia sudah ada dalam persekitaran orang macam itu, kadang keluarga ini kita nampak dia tak berubah, anak dia pun kadang sampai tingkatan empat sudah tidak mahu bersekolah, begitulah mentalitinya.

Jadi tugas kita, selain daripada apa yang Zakat Selangor sudah buat, tugas kita juga. Itu yang kita buat program yang melibatkan pembangunan insan, antaranya kita selit juga program motivasi, kita wajibkan anak asnaf yang tertentu yang kita nampak perlu hadir supaya dia dapat tingkatkan motivasi dia.

Jika kita tidak dapat selamatkan mak ayah dia sekarang, kita wajibkan dia ikuti program masjid, program melibatkan motivasi ini supaya di tidak berhenti sekolah sekarang. Kalau dia berhenti sekarang, tingkatan empat hendak berhenti belajar, memang dia rasa seronok sebab dia tiada komitmen. Contoh, kerja di stesen minyak pun dia rasa dah boleh survive, sebab dia sorang, dia tak fikir bila dia dah kahwin, ada anak dia pulak jatuh asnaf.

Benda itu memang berlaku, apa yang kita buat, kita kena jaga mereka ini, antaranya wujudkan program pembangunan insan itu, kita bagi motivasi, pengajian agama dan sebagainya supaya dia faham.

Itu usaha selain daripada apa yang LZS buat sekrang ini dengan kerjasama dengan pelbagai kolej untuk pengambilan khas anak asnaf, daripada belajar sampai keluar berjaya, kerja dan sebagainya.

Ada nampak hasil dari kelas kemahiran?

Secara besarnya tiada, tetapi dari program yang kita buat itu, satu ke dua peratus kita nampak ada hasil, tidak besar tapi nampak hasilnya. Benda itu boleh bagi kesedaran kepada pihak lain, jadi mereka nampak benda ini boleh berjaya.

Untuk mereka yang memerlukan modal atau bantuan, kita bagi kedai untuk mereka mulakan perniagaan, sebab memang kita nampak potensi dan kesungguhan mereka, kalau tidak kita tidak akan bagi. Kemudahan-kemudahan serta dana masjid yang kita gunakan, kita bagi kepada mereka yang kita nampak potensi dia.

Kita juga ada program kem qiyam huffaz, itu memang asal untuk wujudkan setiap kali cuti ekolah, sebenarnya kita hendak tarik anak asnaf, dan masjid akan bagi separuh harga.

Kadang apabila zakat bagi sumbangan,kita masukkan percuma sahaja, zakat akan bagi dalam RM5,000, kita cuba serap, yang mana mampu bayar separuh, bayar separuh, biasanya tidak mahal, hanya RM150, kalau separuh RM75.

Kalau dapat sumbangan dari pelbagai pihak, untuk anak asnaf kita bagi percuma, macam mana pun masjid cuma boleh ringankan beban, tidak boleh hendak bantu macam institusi yang besar. Masjid cuma bantu untuk ringankan beban sahaja.

Kita cuma bantu untuk ringankan beban, sebab itu kita lebih fokuskan kepada barang dapur. Kita cuba pastikan ia tidak putus. kalau sudah nak habis, masjid memang akan oder untuk pastikan sentiasa ada.

Jadi kaedah bantuan kita ini ada pelbagai sama ada dia datang ke masjid atau kita dapat aduan ada yang dalam kesusahan contohnya yang kena Covid tidak keluar rumah atau nampak jiran yang di berhenti kerja, ada maklumat luar ataupun kita dapat permohonan daripada pihak tertentu, jadi kita akan buat bancian.

Berdasarkan pada ustaz sebut awal tadi, setakat ini program yang mana yang dilihat agak berjaya daripada bantuan sepanjang masa?

Kalau nak kata kejayaan yang besar itu tidak ada. Kita belum lagi nampak mana-mana program yang boleh bagi kesan yang sangat besar, tidak ada. Cuma kalau program kecil itu setidak-tidaknya antara lain dari sudut peningkatan ataupun remaja-remaja berhenti sekolah dalam kalangan anak asnaf ini. Alhamdulilah kita nampak tiada lagi rungutan sebab kita ada kerjasama dengan sekolah-sekolah menengah di sini. Kita wujudkan program-program motivasi bersama.

Jadi lepas kita buat program, kejayaan itu adalah kejayaan bersama iaitu masjid, pihak sekolah, ibu bapa dan sebagainya. Setakat ini kita tidak dengar lagi rungutan ataupun info daripada pihak cikgu mengatakan anak asnaf nak berhenti sekolah di peringkat menengah.

Kita rasa macam kejayaan bersama, yang mana dapat wujudkan satu program daie junior. Kerjasama dilakukan bersama pihak sekolah dan anak asnaf yang berpotensi. Kita akan pilih 20 orang pelajar untuk program daie.

Dalam enam siri, kita panggil pelajar universiti jadi abang angkat. Hasil daripada program itu, lebih separuh daripada mereka sudah masuk ke universiti dan mereka ini menjadi contoh kepada yang lain. Jadi mereka boleh teruskan pengajian antaranya.

Selain itu, memang kita setiap kali program memang kita akan selitkan selingan-selingan supaya ibu bapa jaga anak-anak mereka setidak-tidaknya kena ada sijil SPM paling kurang, tidak berhenti separuh jalan.

Fokus lain, dari sudut barang dapur kita nak menjaga, untuk menampakkan impak yang besar itu tidaklah, tapi sekurang-kurangnya kita rasa berpuas hati, masjid kita ini menjadi tempat bukan semata-mata untuk beribadah sahaja.

Memanglah kalau kita tengok gambaran secara mudahnya masjid ini hanya untuk solat, tapi alhamdulilah kita boleh jadikan masjid ini tempat untuk mereka yang memerlukan bantuan. Jadi siapa susah dia datang masjid.

Jadi kalau ada anak kariah yang perlu dibantu, dia datang dekat sini. Masayarakat kita pun kalau ada jiran tetangga dia memerlukan bantuan, dia hubungi masjid sebab apa, sebab dia tahu masjid boleh bantu. Kalau masjid tidak boleh bantu secara menyeluruh setidak-tidaknya masjid boleh jadi sebagai perantara kumpulan amil kariah untuk menjadi pemohon zakat melalui masjid kepada zakat Selangor.

Jadi itu sebenarnya secara tidak langsung sebagai satu kejayaan masjid dijadikan perantaraan pemohon dan zakat Selangor. Tidak dinafikan ada masjid amil kariah tidak ada, ada nama sahaja, jadi pegawai zakat perlu turun. Kadang ia menyusahkan.

Kalau dengan kita kadang dalam satu hari sahaja kita boleh bantu, sebab sekarang ini ada sistem melalui portal untuk bantu anak kariah hantar borang sejam kemudian sudah masuk ke pegawai zakat, sangat memudahkan.

Kalau dulu kena isi borang hantar ke kaunter, kadang seminggu tidak ada jawapan, melambatkan, sekarang mudah. Isi sekeping borang lampiran terus kita submit secara dalam talian sahaja, memudahkan anak kariah kitalah.

Buat masa sekarang kita rasa masjid dijadikan sebagai tempat rujukan juga di dalam bentuk kebajikan. Kalau tidak sepatutnya orang pergi ke jabatan kebajikan masyarakat sebab kerajaan pusat, kenapa datang masjid, masjid kita uruskan soal ibadah, kematian cukuplah tetapi masyarakat juga faham masjid boleh bantu.

Kejayaan ini bukan sebagai untuk kita rasa selesa tetapi yang kita dapat anugerah ini kita kena kekalkan dan merangka pelbagai lagi program-program pelan supaya kita boleh terus santuni anak kariah kita untuk masa akan datang.

Apa perancangan untuk meningkatkan lagi khidmat masjid atau usaha masjid untuk membantu asnaf pada masa akan datang.

Kita ada beberapa perancangan.

Yang pertama kita rancang dari sudut kematian asnaf kita, mereka tidak perlu mengeluarkan sebarang kos walaupun bukan ahli badan khairat.

Sebagaimana semua maklum, badan khairat ia bukan di bawah Masjid Kota Damansara, ia di bawah ROS. Ia identiti berbeza walaupun guna nama masjid. Jadi bila berlaku kematian, asnaf masih perlu mengeluarkan kos, walaupun masjid sudah uruskan dan dibayar kemudian.

Jadi untuk akan datang kita cuba untuk realisasikan supaya kematian yang melibatkan asnaf dan juga mereka yang susah yang tinggal di Kota Damansara, tidak perlu lagi memikirkan urusan kebumi jenazah.

Kita akan rangka untuk kerjasama dengan mana-mana pihak di bawah Masjid Kota Damansara insya-Allah akan datang asnaf dan juga orang susah tidak perlu lagi keluarkan kos, sama ada masjid perlu buka tabung khairat, masjid guna dana kebajikan ataupun kerjasama dengan persatuan pertubuhan mana-mana untuk membantu mereka. Kita akan ketengahkan.

Yang kedua kita nak wujudkan van sekolah untuk anak-anak asnaf tapi projek itu mungkin di bawah Masjid Kota Damansara juga dengan kerjasama beberapa pihak.

Pemandu kalau boleh kita nak wujudkan kerjaya dalam kalangan asnaf juga. Jadi asnaf akan membawa anak-anak asnaf. Mungkin satu van dulu jadilah sebagai permulaan, kalau kita berjaya kita boleh ketengahkan dan kita boleh bantu ramai anak-anak asnaf dekat luar sana yang masih lagi perlukan.

Antara sebab, kerana di sini tidak banyak van yang berdaftar, yang banyak guna van yang biasa. Jadi jika tidak berdaftar Zakat Selangor tidak boleh bantu. Zakat Selangor melibatkan polisi dan SOP, kalau boleh wujudkan kita buat secara sepatutnya.

Yang ketiga kalau kita tengok dekat sini agak terkenal juga dengan mat-mat rempit, budak-budak muda yang melepak sana sini. Kita nak wujudkan satu team. Kalau kita dapat kenal pasti mereka ini yang lepak tidak ada kerja hujung minggu dan sebagainya kita nak mereka masuk Askar Wataniah. Sebab itu dulu kita pernah usulkan dalam mesyuarat dan retreat, kita nak jadikan masjid ini sebagai satu tempat yang wujudkan untuk kerjasama dengan Askar Wataniah.

Kita nak wujudkan Askar Wataniah ini kena dengan jiwa remaja, kalau polis bantuan setakat ini dia perlu kerja sepenuh masa. Kalau wataniah ini kadang sebulan dua atau tiga kali dia ada latihan tempatan, dia ada pilihan sama ada nak pergi atau tidak, terserah.

Ia ada latihan lanjutan dan tahunan, jadi kalau kita dapat nak salurkan, kalau bukan di bawah masjid pun kita nak bekerjasama dengan kolej terdekat, Giatmara dan sebagainya.

Kalau setakat ini kita sudah jumpa dengan beberapa pegawai untuk dapatkan pandangan masih ada halangan sebab kita terikat dengan JAIS. Projek ini masih lagi dalam perbincangan, kita tidak boleh buat lagi sebab kita nak dapat pandangan daripada orang-orang lama supaya apa yang kita nak buat itu biar berbaloi.

Kalau kita dapat wujudkan projek itu di bawah masjid, saya rasa mungkin masjid pertama dalam Malaysia yang mewujudkan Askar Wataniah di bawah masjid.

Mereka nak berkawad di masjid pun tidak ada masalah. Jadi kalau kita dapat wujud, kita nak kurangkan aktiviti-aktiviti anak-anak muda di luar menghabiskan masa lapang keseronokan zaman remaja dengan cara sebegitu melepak, bermain motor hujung minggu.

Kadang mereka ini ada yang sudah bekerja, habis SPM belum kerja lagi, itu sahaja yang mereka lakukan untuk kepuasan. Jadi apa yang dia tahu, hujung minggu kena ada RM20 untuk isi minyak nak pusing sana-sini.

Apa harapan ustaz selaku pegawai pembangunan asnaf, nak tahu persepsi umum terhadap apa yang telah dilakukan oleh pihak Masjid Kota Damansara untuk membantu asnaf dan ahli kariah?

Dari sudut harapannya kita nak ketengahkan siapa yang patut dihargai supaya kita boleh teruskan aktiviti, program-program di bawah Masjid Kota Damansara. Memang setiap tahun kita merangka nak buat program dan kita muhasabah balik program tahun yang lalu dan merangka program akan datang.

Jadi harapan kita perlu kerjasama semua pihak yang terlibat dalam menyalurkan dana kepada Masjid Kota Damansara dan melancarkan program yang sudah kita rangka.

Jadi harapan kita sikap dan juga kepercayaan semua pihak kepada Masjid Kota Damansara khususnya dalam program kebajikan diteruskan, percaya kepada kita supaya dana disalur boleh teruskan aktiviti program kebajikan di Masjid Kota Damansara.

Saya tidak lupa juga kepada semua AJK penggal yang sekarang, saya dekat sini sudah masuk tahun ketujuh. Alhamdulillah semua pihak jawatankuasa sentiasa memberi sokongan, apa-apa program yang dicadangkan.

Maksudnya kerjasama antara pegawai dan juga warga AJK ini sangat baiklah. Apa sahaja program yang kita cadangkan diluluskan, diberi sokongan. Hasilnya kita dapat teruskan program-program kita. Walaupun kita ada dana tadi, kalau kita rangka program tapi tidak dapat kerjasama daripada nazir dan AJK dan sebagainya maka tidak dapat laksanakan.

Jadi kerjasama semua pihak ini, adapun dari penyumbang, AJK yang meluluskan khususnya nazir, bendahari dan sebagainya yang meluluskan program yang kita rangka ini hasilnya kita dapat menjayakan banyak program berbentuk kebajikan.

Benda ini bukan di bawah pembangunan asnaf sahaja, melibatkan pelbagai pihak, melibatkan pengurusan, AJK dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 20/1/2022

- Advertisement -