Mangsa tipu pekerjaan rugi lebih RM900,000

Modus operasi syarikat penipu atau scammer memanipulasi bisnes e-dagang melalui kecanggihan teknologi internet.
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

SINGAPURA: Seorang warga negara jiran Malaysia di sini mendedahkan dia telah menjadi mangsa tipu sebuah syarikat yang menawarkan pekerjaan sambilan dan kehilangan wang tunai  lebih 300,000 Dolar Singapura (RM932,698).

Modus operandi syarikat penipu atau scammer berkenaan adalah dengan menghantar mesej WhatsApp tentang tawaran kerja sambilan yang mudah bagi  menjana pendapatan beberapa ratus dolar sehari.

- Advertisement -

Menurut laporan CNA, Chris (bukan nama sebenar) yang berusia 23 tahun itu yang berpendapat sebagai seorang yang celik teknologi informasi (IT), dia yakin dirinya tidak akan mudah dipancing atau ditipu oleh scammer, jadi dia memutuskan untuk mengetahui lebih lanjut tentang tawaran pekerjaan sambilan berkenaan.

Namun, dia kini menyesal selepas kehilangan wang sebanyak RM932,698 daripada simpanan  peribadi dan ibunya hanya dalam tempoh lima hari pada Nov tahun lalu. 

Pada 18 Nov 2021, Chris ditawarkan pekerjaan ‘membeli’ barangan dalam talian untuk meningkatkan jualan dan penarafan bisnes e-dagang.

Orang ramai perlu berhati-hati apabila mendapat tawaran pekerjaan khususnya yang tidak pernah dipohon.

Penipu berkenaan yang menggelarkan dirinya sebagai Dorris telah memasukkan nama Chris ke dalam kumpulan WhatsApp yang disertai 10 individu lain, yang berkemungkinan mangsa seperti Chris atau penipu yang bersepakat dengan Dorris.

“Ahli dalam grup WhatsApp tersebut banyak kali berbincang sesama mereka dengan berkata: ‘Adakah ini scammer?’”

“Jadi saya fikir, mereka juga sama seperti saya … selain mereka (cukup meyakinkan) dengan memuatkan gambar kehidupan seharian mereka, selain berkongsi info tentang pekerjaan sambilan dalam grup whatsApp tersebut,” ujarnya kepada CNA.

Layari Google

Chris berkata bahawa dia melayari Google bagi mendapatkan maklumat mengenai syarikat berkenaan, namun ia kelihatan seperti firma yang sah dengan laman web yang tampak profesional.

Dia juga menghubungi firma itu tetapi tiada sesiapa yang menyambut panggilan telefonnya. Sedang Chris masih teragak-agak, Dorris kemudian menawarkan untuk membenarkan Chris menggunakan akaun peribadi dan dananya untuk ‘membeli’ barang buat pertama kali.

Individu celik teknologi informasi (IT) belum tentu dapat memastikan diri tidak terjebak dengan scammer.

Bayaran itu dihantar ke pelbagai akaun bank yang didakwanya sebagai peniaga, dan ‘syarikat’ berkenaan kemudian membuat pembayaran semula kepada Chris dengan jumlah yang dibayar untuk barangan berserta komisen.

Dorris kemudian meminta Chris untuk membuka akaun dan memasukkan wang bagi urusan pembelian barangan seterusnya.

Ketika ahli lain dalan kumpulan whatsApp tersebut mula menghantar tangkapan skrin dana tentang pendapatan yang kononnya mereka perolehi daripada bisnes gig berkenaan, Chris mula terjebak.

Chris menjadi yakin bisnes itu bukan suatu penipuan apabila dia menerima bayaran pertamanya sebanyak RM5,192 daripada satu transaksi yang diselesaikannya untuk syarikat itu.

Antara taktik scammer ialah mangsa diminta untuk memproses pemindahan dana, membuka akaun bank atau menerima sumbangan ke dalam akaun bank peribadi mereka sebagai balasan kepada komisen.

Menurut Chris, setiap transaksi secara puratanya berjumlah kira-kira RM31 pada mulanya, tetapi kosnya mula bertambah menjadi ratusan apabila membabitkan barangan seperti peti sejuk. Barangan paling mahal yang ditawarkan kepadanya untuk urusan bisnes tersebut ialah sebuah jam tangan Rolex berharga RM248,719.

Pada ketika itu, syarikat berkenaan juga mula menjanjikan Chris lebih banyak komisen dan bonus jika dia boleh memasukkan lebih banyak wang. Mereka juga memberitahunya bahawa akaunnya akan dibekukan melainkan dia menyelesaikan beberapa transaksi selanjutnya.

Apabila dia mencapai kira-kira 30 transaksi, Chris menyedari dia telah menghabiskan semua  wang simpanannya sendiri, jadi dia meminta ibunya pula menghantar wang bagi pihaknya.

Warga emas yang sudah pencen mudah dan terdedah untuk menjadi mangsa scammer, namun bukan golongan tersebut sahaja yang menjadi buruan scammer untuk mendapatkan wang mangsa.

Chris menunjukkan bukti tangkapan skrin transaksi wang yang dihantarnya melalui pelbagai akaun bank tempatan, sehingga ia mencecah lebih RM932,698. 

Dia juga menunjukkan kepada laporan polis yang difailkannya pada 22 Nov 2021, yang memperincikan berpuluh-puluh transaksi. Jumlah itu meningkat kurang daripada RM311 kepada beribu-ribu ringgit, kemudian kepada puluhan ribu ringgit, dan jumlah terbesar mencecah lebih daripada RM360,643.

Chris memberitahu bahawa dia mahukan lebih pendapatan kerana mahu membantu keluarganya membayar bil perubatan neneknya yang berusia 88 tahun.

Setiap kali dia menghantar wang kepada syarikat scammer berkenaan, dia diminta agar memasukkan lebih banyak wang, dengan tawaran bonus dan diberitahu bahawa wangnya akan dibekukan melainkan jika dia menyelesaikan beberapa transaksi lain.

Jalan mudah dan selamat untuk memastikan diri tidak menjadi mangsa scammer ialah dengan tidak melayan sebarang panggilan atau mesej daripada sebarang individu atau pihak yang tidak dikenali.

Selepas perkara itu berlaku beberapa kali, Chris akhirnya menyedari bahawa dia telah menjadi mangsa penipuan dan melaporkannya kepada polis.

Apabila dia memberitahu syarikat scammer berkenaan bahawa dia telah membuat laporan polis dan mahu wangnya dikembalikan, mereka mengejeknya. 

Chris menegaskan, dia membuat pendedahan tersebut agar orang lain tidak akan terjebak menjadi mangsa penipuan yang sama.

“Saya fikir ia tidak akan berlaku kepada saya (tetapi) saya silap. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” ujarnya

Ketika dihubungi CNA, pihak polis mengesahkan bahawa laporan telah dibuat Chris dan siasatan sedang dijalankan. 

Penipu tiket wayang

Pada 19 Jan 2022, hari yang sama Chris ditemu bual CNA, wartawan syarikat media berkenaan juga menerima mesej di Telegram bertanyakan sama ada dia berminat dengan satu ‘tawaran jawatan baharu’.

Wartawan berkenaan bagaimanapun tidak diminta membeli barangan, tetapi sebaliknya tiket wayang untuk meningkatkan jumlah box office filem syarikat scammer berkenaan yang kononnya bertindak sebagai firma permasaran.

Jangan mudah memberikan data peribadi anda kepada sesiapa sahaja kerana ia dengan senang bakal mendedahkan anda untuk menjadi mangsa scammer.

Syarikat scammer itu telah menghantar sebuah tapak web yang memalsukan firma pemasaran digital yang sah, yang sejak itu telah memberikan amaran di tapak webnya bahawa namanya digunakan dalam penipuan.

Kredit percuma telah disediakan untuk pengguna baharu memperoleh komisen tanpa perlu memasukkan sebarang wang.

“Apabila saya membalas mesej, saya kemudian telah dimasukkan ke dalam kumpulan sembang Telegram berkenaan dengan sembilan ahli lain. Sebaik sahaja saya menyertai kumpulan sembang berkenaan, beberapa orang menghantar mesej mengalu-alukan saya ke kumpulan itu.

“Salah seorang ahli menjemput ahli lain untuk makan malam, tetapi dia menjawab: ‘Lain kali, sanggup bekerja lewat sedikit, dapatkan lebih banyak pendapatan’,” ujar wartawan CNA berkenaan.

Tambahnya, seseorang kemudian menghantar mesej kepadanya secara berasingan untuk ‘berkenalan’, selain meminta butiran peribadi seperti umur dan pekerjaannya. 

Ahli kumpulan sembang telegram berkenaan yang menggelarkan dirinya sebagai Ryan, kemudian berkongsi informasi kononnya dia boleh memperoleh RM15,545 hingga RM18,654 sebulan dengan ‘pekerjaan’ tersebut.

Elakkan diri daripada terpesona dengan tawaran komisen wang tunai yang banyak khususnya dalam urus niaga atas talian dengan orang yang tidak dikenali.

“Saya menghantar mesej kepada kebanyakan ahli dalam kumpulan secara berasingan, bertanya kepada mereka sama ada ini satu penipuan. Mereka semua berkata tidak.

“Seorang daripada mereka menjawab mengatakan bahawa mereka telah mengusahakan perkerjaan ini selama 11 bulan dan bahawa saya adalah orang pertama yang meragui platform itu. Seorang lagi menghantar mesej kepada saya ‘siao’, yang bermaksud ‘gila’ dalam bahasa Hokkien.

“Saya lalu berhenti menghantar mesej kepada platform penipu berkenaan apabila mereka meminta saya memasukkan butiran bank saya ke dalam laman web untuk memindahkan komisen kepada saya.

“Beberapa jam kemudian, mereka mengeluarkan saya daripada kumpulan sembang Telegram berkenaan,” jelas wartawan tersebut.

Jenis penipuan pekerjaan

Dalam pada itu menurut scamalert.sg, penipuan pekerjaan pada kebiasaannya bermula dengan tawaran pekerjaan yang tidak pernah dipohon oleh mangsa, yang dihantar melalui aplikasi pemesejan atau media sosial. 

Ia boleh datang dalam pelbagai bentuk dan kes yang digariskan sebagai penipuan pekerjaan ‘Pemasaran Gabungan’.

Golongan scammer akan melakukan pelbagai cara penipuan menggunakan teknologi terkini untuk menipu mangsa.

Di sinilah mangsa diminta membantu untuk meningkatkan jualan penjual dengan membayar produk terlebih dahulu sebagai balasan untuk komisen. Pembayaran sedemikian sering dibuat ke akaun bank persendirian.

Terdapat juga penipuan yang mana mangsa diminta untuk memproses pemindahan dana, membuka akaun bank atau menerima sumbangan ke dalam akaun bank peribadi mereka sebagai balasan kepada komisen yang kecil.

Penipu kadangkala turut meletakkan iklan pekerjaan dalam talian untuk pembantu pembeli, pengambil saham atau peserta untuk percubaan sistem di tapak web terperingkat popular seperti Gumtree.

Peserta diminta untuk mendedahkan butiran peribadi, kod keselamatan telefon dan kata laluan sekali sahaja, maklumat yang membolehkan penipu kemudian mengakses talian telefon mudah alih individu berkenaan untuk membeli kredit dalam talian.

Jangan terjebak dengan taktik scammer yang memasukkan anda ke dalam grup WhatsApp bersama ramai individu lain yang tidak dikenali serta gemar menabur kata-kata manis.

Satu lagi jenis penipuan melibatkan iklan pekerjaan untuk pengiring lelaki, dan pemohon diberitahu mereka akan diperkenalkan kepada pelanggan wanita kaya, tetapi hanya selepas mereka membayar yuran pendaftaran.

Penipu juga meminta mangsa untuk bayaran lain seperti insurans dan keahlian sebelum menghilangkan diri dengan wang mangsa.

Statistik polis terkini di Singapura menunjukkan bahawa jumlah penipuan bagi  penipuan pekerjaan meningkat kepada RM20.2  juta pada separuh pertama 2021, daripada RM186,540  dalam tempoh yang sama pada 2020. 

Jumlah bilangan kes penipuan pekerjaan di negara itu telah meningkat lebih 16 kali ganda kepada 658, daripada 40 dalam separuh pertama tahun 2020.

Sementara bilangan kes penipuan secara amnya juga telah meningkat. Pada Disember 2021, 470 warga Singapura menjadi mangsa penipuan pancingan data SMS yang  membabitkan pelanggan bank OCBC yang dimanipulasi scammer terbabit, dengan jumlah kerugian sekurang-kurangnya RM26.4 juta. – HARAKAHDAILY 20/1/2022

- Advertisement -