Vaksin MM ketetapan Kerajaan Arab Saudi

- Advertisement -

ABU Shafik sengaja alih tiang gol. Isu utamanya sekarang adalah vaksin COVID-19. Macam mana dia boleh bolos ke Makkah buat umrah? Sedangkan dia tak ambil vaksin?

Bagi umrah, vaksin Meningococcal Meningitis (MM) diwajibkan mengikut arahan Kerajaan Arab Saudi tetapi pemeriksaan di pintu masuk mereka tidak diketatkan. Tempoh cucuk vaksin MM adalah dalam tempoh 3 tahun kebelakangan.

- Advertisement -

Pihak imigresen atau kesihatan Arab Saudi hanya membuat pemeriksaan secara berkala. Jika pemeriksaan berkala itu dapati jemaah tak cucuk, jemaah berkenaan akan dicucuk di klinik airport.

Jadi bagi jemaah umrah kemungkinan mereka yang tak cucuk vaksin MM terlepas atas kelonggaran pemeriksaan di pintu masuk.

Ianya berbeza dengan jemaah Haji. Setiap jemaah Haji wajib cucuk vaksin MM dan pemeriksaan di pintu masuk agak teliti. Bahkan Tabung Haji dan KKM telah mengambil langkah ke depan iaitu setiap jemaah Haji tidak akan berlepas ke tanah suci selagi tidak dicucuk vaksin MM.

Kalau mengaku tidak cucuk vaksin MM untuk buat Haji, maknanya dia tipu tandatangan terima vaksin MM dalam buku rekod Kesihatan TH.

Masyarakat perlu faham bahawa pemberian vaksin Meningococcal bukan dibuat atas arahan mana-mana konspirasi tertentu ataupun ejen Dajal. 

Pemberian vaksin tersebut adalah berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan bagi mencegah berlakunya wabak yang lebih besar akibat bakteria bernama Neisseria Meningitidis itu. 

Ianya satu bakteria yang boleh membawa maut. Kes bakteria Meningitis (radang selaput otak) berlaku sebanyak 135,000 setiap tahun. 

Manakala sebanyak 50,000 orang mati akibat penyakit Meningococcal Meningitis. Satu jumlah yang agak besar dan memberi impak kesihatan seluruh dunia. 

Oleh itu pemberian vaksin kepada pengunjung ke negara-negara terbabit memang amat diperlukan.

Wabak terbesar pernah berlaku jangkitan Meningokokal Meningitis sekitar tahun 2000. Di mana ramai jemaah yang meninggal dunia akibat diserang oleh wabak ini. 

Jemaah Haji dalam negara kita juga terlibat. Saya pernah terlibat dalam merawat pesakit jemaah Haji yang balik dari tanah suci dan akhirnya meninggal dunia. 

Amat menyedihkan kerana peluang untuk hidup adalah tipis jika dijangkiti oleh Neisseria Meningitidis tersebut. 

Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa untuk mengharuskan pemberian vaksin tahun 2002. Bermula dari itu Kerajaan Arab Saudi dan negara kita telah pun mewajibkan pemberian vaksin ini kepada semua jemaah Haji yang akan menunaikan Haji.

Saya nasihatkan kepada orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan individu-individu yang sengaja meragui program vaksinasi dalam negara kita.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Mantan Pengarah Operasi Haji (Perubatan di Madinah) – HARAKAHDAILY 14/1/2022

Rujukan:
[1] Yadav S, Rammohan G. Meningococcal Meningitis. StatPearls Publishing LLC. Update: August 11, 2021.
[2] Annelies Wilder-Smith, Kee Tai Goh, Timothy Barkham, Nicholas I. Paton, Hajj-Associated Outbreak Strain of Neisseria meningitidis Serogroup W135: Estimates of the Attack Rate in a Defined Population and the Risk of Invasive Disease Developing in Carriers, Clinical Infectious Diseases, Volume 36, Issue 6, 15 March 2003, Pages 679–68.

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044617980972/posts/491943185636277/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -