Gembleng tenaga tarik anak muda minati sukan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU: Semua pihak perlu menggembleng tenaga bagi menarik golongan anak muda agar meminati aktiviti sukan dalam mengisi masa terluang mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim berkata, sehubungan itu bagi mencapai matlamat berkenaan, kerjasama daripada masyarakat dan agensia-agensi swasta sangat diperlukan dalam menjayakan perancangan Majlis Sukan Negeri (MSN).

- Advertisement -

“Ia bukan sekadar untuk melahirkan golongan anak muda yang sihat, bahkan bakat baharu agar dapat digilap supaya dapat dijadikan pelapis dalam bidang sukan dan mampu bersaing di semua peringkat,” katanya selepas pertemuan bersama wakil MSN, di sini semalam.

Menurutnya lagi, usaha untuk melahirkan generasi muda yang sihat serta kompetitif tidak sewajarnya dipertanggungjawabkan kepada pihak kerajaan semata-mata.

Beliau menerima kunjungan daripada MSN yang diketuai Pengarahnya, Anuar Abidin bagi membincangkan kelangsungan sukan dalam kalangan anak muda di Perlis.

“Antara perkara yang menjadi intipati perbincangan termasuklah usaha menarik minat golongan anak muda di negeri ini dalam aktiviti sukan.

“Alhamdulillah, hasil perbincangan yang diadakan, kita bakal menganjurkan satu pertandingan memanah dan sepak takraw khusus untuk golongan berkenaan pada hujung bulan Januari ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 11/1/2022

- Advertisement -