ARC Terengganu baik pulih motosikal mangsa banjir

- Advertisement -

TEMERLOH: Prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir di Pahang, 120 pemuda PAS dari Terengganu menawarkan perkhidmatan membaik pulih motosikal secara percuma.

Pengarah Alternative Riding Club (ARC) Terengganu, Rahim Rozali berkata, pihaknya telah membuka empat bengkel bergerak di Pahang dengan menempatkan ahli ARC yang berkemahiran untuk membaiki kenderaan.

Katanya, ARC terdetik untuk menghulurkan bantuan itu apabila mengenangkan nasib mangsa banjir yang bukan sahaja perlu menanggung kos membaik pulih kenderaan malah pelbagai kos lain.

- Advertisement -

“Alhamdulillah kami mula berkampung di sini sejak semalam untuk membaiki motosikal secara percuma.

“Setiap motosikal mengambil masa antara satu dan dua jam untuk dibaik pulih dengan semua kos penggantian seperti palam pencucuh, minyak hitam dan penapis udara akan ditanggung kami termasuk mencuci kesan lumpur pada motosikal,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Menurut beliau, kelab permotoran di bawah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Pemuda PAS itu turut menyediakan 400 botol minyak hitam percuma untuk keperluan penduduk.

“Kami hanya memanfaatkan kemahiran yang kami ada untuk berbakti kepada masyarakat.

“Selain itu rakan-rakan Pemuda PAS kami daripada sektor lain turut menyumbang dalam kepakaran yang mereka ada, contoh Jabatan Amal Malaysia, mereka bergerak membantu membersihkan rumah terjejas pasca banjir,” katanya.

Kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kasim dan Naib Ketua Pemuda PAS Terengganu, Hamdi Harun melakukan pelepasan pasukan ARC tersebut. – TRDI.my

- Advertisement -