Kerajaan pertimbang semula kadar tarif elektrik

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Kerajaan mempertimbangkan semula kadar tarif elektrik untuk tempoh 2022 sehingga 2024 bagi mengurangkan bebanan kepada rakyat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan berhubung perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Katanya, kerajaan sebelum ini sudah mengkaji dengan mengambil kira situasi Covid-19 dalam negara di samping masalah ekonomi yang dihadapi.

Advertisement

“Pengisytiharan mengenai tarif elektrik itu akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.

“Jumlah keseluruhan pengguna elektrik di seluruh negara sebanyak lapan juta dan 85 peratus daripadanya pengguna domestik dan selebihnya komersial dan industri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Persatuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu di Jalan Bayam, di sini, hari ini.

Katanya, beliau memberi jaminan kadar tarif elektrik itu tidak akan memberi bebanan kepada rakyat terutama pengguna.

Takiyuddin seterusnya memberitahu, kadar tarif elektrik untuk pengguna industri dan komersial juga mungkin ada pengubahsuaian.

Anggota Parlimen Kota Bharu itu turut berkata, semua bekalan elektrik di lokasi yang terjejas banjir termasuk Selangor dan Pahang sudah pulih 100 peratus iaitu yang menggunakan aliran biasa serta jana kuasa mobil.

“Namun, bagaimanapun Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam tempoh untuk membaik pulih tiang elektrik yang terjejas.

“Banyak lagi tiang yang perlu dibaiki yang memerlukan kos ratusan juta ringgit,” katanya.

Menjawab soalan mengenai bantuan banyak disalurkan kerajaan Persekutuan pada Selangor dan Pahang akibat banjir, beliau berkata, itulah istimewanya kerajaan sekarang.

“Jadi kalau kita inginkan bantuan untuk rakyat sentiasa disalurkan, kekalkanlah kerajaan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/1/2022