Kes kanak-kanak dijangkiti Covid-19 meningkat di New York

- Advertisement -

WASHINGTON: Ketika kes Omicron semakin meningkat, Jabatan Kesihatan New York melaporkan bahawa terdapat peningkatan kes kanak-kanak dimasukkan ke hospital akibat Covid-19.

Ini berikutan peningkatan empat angka kes kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah dimasukkan ke hospital kerana Covid-19 sejak 5 Disember lalu hingga kini.

- Advertisement -

Kira-kira separuh daripada kemasukan membabitkan kanak-kanak berumur bawah lima tahun, iaitu kumpulan umur yang tidak layak divaksin.

Mengikut data Universiti John Hopkins, bilangan kes Covid-19 di Amerika Syarikat semakin meningkat dengan secara purata hampir 190,000 jangkitan baharu sehari sejak tujuh hari lalu

Kemunculan varian Omicron, menyelubungi sambutan percutian Krismas yang kebiasaan dipenuhi dengan pertemuan keluarga dan perjalanan. Ramai penduduk Amerika Syarikat yang mahu membuat ujian Covid-19 pula menghadapi kesukaran berbuat demikian.

Semalam, penasihat pandemik Amerika Syarikat, Anthony Fauci, mengakui terdapat masalah untuk membuat ujian Covid-19 dan berikrar untuk membolehkan lebih banyak ujian dilakukan pada bulan depan.

“Antara masalah sekarang ialah tidak semua orang akan dapat membuat ujian itu hingga Januari depan,” katanya yang memberi jaminan bahawa isu itu sedang ditangani dan akan diperbetulkan tidak lama lagi.

Selasa lalu, Presiden Joe Biden, mengumumkan beberapa tindakan baharu dalam usaha Amerika Syarikat menangani peningkatan kes Covid-19, termasuk menghantar kira-kira 500 juta alat ujian kendiri Covid-19 menjelang Krismas.

Bagaimanapun, strategi Rumah Putih untuk memberi perhatian terhadap vaksinasi menghadapi kritikan berikutan banyak alat ujian tiada sehingga Januari akan datang. – HARAKAHDAILY 27/12/21

- Advertisement -