Sukarelawan Kelantan turut bersih rumah kaum Tionghua

- Advertisement -

TEMERLOH: Skuad sukarelawan Gaal Cakna Kebajikan menyantuni anak-anak perantau Kelantan di Temerloh yang terjejas akibat banjir semalam.

Adun Gaal Mohd Rodzi Jaafar berkata, petang semalam sukarelawan dari Gaal berjaya mencuci empat rumah, termasuk kediaman Pengerusi Persatuan Perantau Kelantan Malaysia (PERAKAN) Cawangan Temerloh Ustaz Samsuri.

Selain itu katanya sebuah kediaman dimiliki kaum Tionghua turut dibersih pada gotong royong tersebut.

- Advertisement -

“Perumahan di belakang kuaters TNB Temerloh merupakan kawasan paling teruk terjejas di mana menurut penduduk tempatan paras air sedalam 7 kaki dalam rumah,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Rombongan sukarelawan dari Kelantan seramai 1,500 orang bertolak ke Pahang pagi semalam bagi menyertai misi membersih kesan-kesan banjir di beberapa daerah di Pahang.

Pelepasan rombongan tersebut dilakukan Menteri Besar Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakub di Kota Darulnaim. Rombongan dari setiap Dun diketuai wakil rakyat tempatan.

Mohd Rodzi juga berkata, hari ini sukarelawan dari Gaal menyertai gotong royong di kawasan banjir yang baru surut iaitu di Kamoung Gajah Mati Temerloh.

“Doakan supaya team kami sihat dan dapat melalaksanakan tugas dengan sebaik mungkin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/12/2021

- Advertisement -