Bantu mangsa banjir dapatkan semula dokumen penting Jakim, Jawi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad telah meminta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk membantu mangsa banjir mendapatkan semula dokumen pernikahan di Wilayah Persekutuan seperti surat perakuan nikah yang musnah akibat musibah banjir.

Ini, katanya susulan situasi semasa banjir yang melanda di beberapa buah negeri.

“Ia akan diberikan secara percuma kepada mangsa-mangsa banjir yang bernikah di Wilayah Persekutuan,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Begitu juga, katanya dokumen Sijil Kursus Praperkahwinan kepada bakal pengantin yang dianjurkan Jawi di Wilayah Persekutuan, mangsa banjir boleh memohon semula sijil berkenaan secara percuma.

“Manakala, bagi mangsa banjir di kalangan graduan Darul Quran Jakim juga boleh memohon semula sijil atau diploma pengajian yang musnah akibat musibah banjir,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, permohonan untuk mendapatkan semula dokumen itu tidak perlu secara tergesa-gesa dan boleh berurusan terus dengan agensi Jakim dan Jawi. 

Ini, jelas beliau adalah usaha agensi Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

“Marilah bersama-sama kita terus mendoakan agar mangsa-mangsa banjir dan seluruh keluarga, anggota keselamatan, petugas barisan hadapan, sukarelawan dan semua pihak diberikan keselamatan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang melaksanakan misi bantuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/12/2021

- Advertisement -