Standard perkhidmatan kecemasan UK jadi penanda aras

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato' Dr Noor Azmi Ghazali
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjadikan standard perkhidmatan kecemasan United Kingdom sebagai penanda aras dalam penggubalan Akta Perkhidmatan Kecemasan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, berkata KKM sedang mengkaji secara menyeluruh kesesuaian pasukan kecemasan di negara ini, terutama perkhidmatan ambulans.

- Advertisement -

Menurutnya, hospital yang canggih dan kakitangan yang cekap tidak akan bermakna jika perkhidmatan ambulans yang membawa pesakit ke kemudahan kesihatan mempunyai banyak kelemahan.

Sehubungan itu,, katanya beberapa langkah telah dan sedang diambil oleh KKM untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan ambulans secara keseluruhan.

“Antaranya ialah pemerolehan kenderaan ambulans yang sedang dilaksanakan bagi menampung keperluan di semua kemudahan kesihatan.

“Kerjasama erat juga dilakukan dengan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Persatuan Bulan Sabit Merah, bagi perkhidmatan ambulans yang berterusan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 bagi KKM di Dewan Negara, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, KKM juga mengenal pasti kawasan panas, iaitu lokasi yang menerima beban panggilan kecemasan yang berat, iaitu melebihi empat kes sehari dan masa perjalanan antara lokasi kecemasan dan kemudahan kesihatan terdekat dalam lingkungan 30 minit.

Pada masa sama, katanya KKM menambah bilangan ambulans melalui penyumberluaran perkhidmatan ambulan kepada syarikat swasta bermula pada tahun ini.

Sementara itu, katanya KKM sedang membangunkan peraturan baharu bagi mengawal selia perkhidmatan ambulans swasta di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Akta 586) yang akan dipinda tidak lama lagi.

Katanya, ini bagi membolehkan perkhidmatan ini dikawal selia dengan lebih baik dengan peraturan baharu akan melibatkan penetapan standard bagi spesifikasi ambulans, kelayakan kakitangan, peralatan dan perkhidmatan yang diberikan bagi memastikan kualiti terbaik dan menjamin keselamatan pengguna. – HARAKAHDAILY 21/12/21

- Advertisement -