Tangani segera penerokaan haram hutan simpan kekal

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Semua kerajaan negeri perlu mengambil tindakan penguatkuasaan dan mencari penyelesaian terhadap aktiviti penerokaan haram Hutan Simpan Kekal (HSK) selewat-lewat pada 1 Jun 2022.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Ali Biju, berkata keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-79 yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 2 Disember lalu.

- Advertisement -

Katanya, tindakan penguatkuasaan dan menentukan penyelesaian terbaik perlu dilakukan mengikut peruntukan akta, enakmen dan peraturan sedia ada yang sedang berkuat kuasa.

“Antara langkah penyelesaian yang boleh diambil oleh kerajaan negeri adalah tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan dalam Akta 313 dan perundangan lain yang berkuat kuasa,” katanya ketika menjawab soalan lisan Dato’ Ajis Sitin di Dewan Negara, hari ini.

Ali berkata, kerajaan negeri juga boleh memberikan kebenaran kepada aktiviti tertentu melalui Permit Penggunaan untuk suatu tempoh yang terhad.

Katanya, kerajaan negeri juga boleh membuat pewartaan keluar kawasan penempatan yang wujud dalam HSK yang tertakluk kepada penggantian kawasan selaras dengan Seksyen 11 Akta 313 dengan pemilihan tindakan yang bersesuaian tertakluk kepada situasi kes.

Sementara itu, katanya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah memperkenalkan suatu seksyen baharu dalam cadangan pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), iaitu berkenaan kuasa Pihak Berkuasa Negeri untuk mengurangkan, melepaskan atau mengecualikan ses pembangunan hutan kepada Orang Asli.

Menurutnya, ini meliputi apa-apa hasil hutan atau kelas hasil hutan yang diambil dari mana-mana tanah kerajaan atau tanah beri milik oleh mana-mana Orang Asli.

Katanya, pengecualian ini bagi tujuan seperti pembinaan dan pembaikan pondok sementara di tanah yang diduduki secara sah oleh Orang Asli, penyenggaraan kelong menangkap ikan dan tempat mendarat, kayu api dan pembinaan atau penyelenggaraan sebarang kerja bagi faedah bersama Orang Asli.

Bagaimanapun, katanya pergerakan keluar masuk Orang Asli ke dalam HSK untuk pelbagai tujuan yang tidak munasabah adalah melanggar undang-undang dan perlu mempunyai Permit Memasuki HSK mengikut subseksyen 47(1) Akta 313.

Selain itu, katanya Orang Asli yang mengambil hasil hutan dari kawasan HSK untuk tujuan komersial tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan mengikut subseksyen 15(1) Akta 313 kecuali dengan suatu lesen atau permit yang tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri. – HARAKAHDAILY 21/12/21

- Advertisement -