Meta hapuskan ‘tentera siber upahan’ global

- Advertisement -

SACRAMENTO: Meta telah menghapuskan ‘tentera siber upahan’ yang menyasarkan 50,000 mangsa dengan memadamkan akaun yang dikaitkan dengan tujuh syarikat pengawasan swasta atas dakwaan mengintip aktivis dan wartawan di 100 negara di seluruh dunia.

Syarikat gergasi media sosial itu berkata pada hari Khamis (16 Nov) waktu tempatan, ia telah mula memberi amaran kepada kira-kira 50,000 orang di lebih 100 negara yang dipercayai mungkin berada di bawah pengawasan tujuh syarikat pengawasan tersebut.

- Advertisement -

Dalam laporannya, Meta telah menyenaraikan tujuh syarikat pengawasan swasta atas dakwaan melakukan penggodaman dan penyalahgunaan terhadap privasi pengguna aplikasi media sosialnya, dan seterusnya menyahaktifkan  kira-kira 1,500 akaun di Facebook, Instagram dan WhatsApps, yang kebanyakannya merupakan akaun palsu.

Syarikat Induk Facebook itu menegaskan, ia telah memadamkan akaun yang terikat dengan Cobwebs Technologies, Cognyte, Black Cube dan Bluehawk CI – semuanya berpangkalan atau diasaskan di Israel, yang dilabelkan Meta sebagai ‘pemain terkemuka’ dalam perniagaan pengawasan siber.

BellTroX yang berpangkalan di India, firma Cytrox Macedonia Utara dan entiti yang tidak dikenali di China turut menyaksikan akaun yang dipautkan kepadanya dialih keluar dari platform Meta.

Sehubungan itu, Pegawai Keselamatan Siber Meta, David Agranovich berkata, beliau berharap pengumuman  pada Khamis (16 Nov) itu akan ‘memulakan gangguan  terhadap pasaran pengawasan (siber) untuk disewa (yang diaktifkan oleh tujuh syarikat pengawasan terbabit)’.

“Walaupun ‘tentera siber upahan’ mendakwa perkhidmatan mereka hanya tertumpu kepada  golongan penjenayah dan ‘pengganas’, penyiasatan Meta selama berbulan-bulan menyimpulkan bahawa penyasaran adalah dilakukan secara sembarangan termasuk terhadap wartawan, pengkritik kerajaan, anggota keluarga parti pembangkang dan aktivis hak asasi manusia,” jelas Agranovich, lapor Al-Jazeera.

Menurutnya lagi, perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat berkenaan adalah daripada mendapatkan maklumat awam dalam talian sehinggalah kepada menggunakan  persona palsu untuk membina kepercayaan dalam kalangan golongan sasaran atau membuat intipan digital melalui serangan penggodaman.

“Satu taktik untuk menipu golongan sasaran ialah supaya mangsa mengklik pada pautan atau fail tertentu yang berkemampuan mencuri maklumat daripada sebarang peranti yang  digunakan mangsa untuk masuk ke dalam talian.

“Dengan akses sedemikian, ‘tentera upahan siber’ boleh mencuri data daripada telefon atau komputer golongan sasaran, serta mengaktifkan mikrofon, kamera dan penjejakan secara senyap,” jelas Agronovich lagi.

Sehubungan itu, terdapat juga beberapa firma media sosial lain mengambil tindakan yang sama seperti Meta, dengan Twitter mengumumkan penyingkiran 300 akaun beberapa jam selepas pengumuman Meta tersebut.

Terdahulu, syarikat perisian pengintip Israel, NSO Group baru-baru ini mendapat perhatian susulan teknologi digunakannya terhadap masyarakat sivil, termasuk aktivis Palestin dan pegawai Amerika Syarikat. 

NSO Group telah disenaraihitamkan pada bulan lalu di AS selepas beberapa minggu pendedahan dilakukan terhadapnya. – HARAKAHDAILY 17/12/2021

- Advertisement -