MDEC, Sidec saran SME Malaysia sertai TopzMall

Ahmad Salman.
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

PETALING  JAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menyarankan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) di negara ini agar menyertai TopzMall bagi menikmati penyenaraian percuma produk melalui platform e-dagang berkenaan.

Penolong Pengurus Sidec, Ahmad Salman Ahmad Fua’ad berkata, pada masa yang sama, TopzMall juga menyediakan kandungan menarik untuk mempromosikan produk peniaga tempatan dan mewujudkan ekologi e-dagang yang baik.  

- Advertisement -

“TopzMall juga akan membantu peniaga SME di Malaysia dalam mengeksport barangan mereka ke China, Vietnam dan Filipina,” ujarnya.

Sementara menurut Pengurus Kanan bagi Penglibatan Pemboleh (Enablers Engagement) MDEC, Carol Fung, TopzMall memberi peluang kepada pengguna di seluruh Asia untuk membeli barangan menjelang Tahun Baharu 2022 Malaysia dan merasai budaya Malaysia melalui produk tersebut. 

“Pembangunan ekonomi yang mampan, sihat dan pesat di pelbagai negara telah meletakkan asas ekonomi yang kukuh, yang turut menggalakkan faedah ekonomi Malaysia,” katanya.

Pada tahun pertama operasinya sepanjang tahun 2020, platforrm e-dagang TopzMall berjaya mencatat jualan sebanyak RM16 juta.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Operasi  (CEO) TopzMall, Calvert Choo menegaskan, pada tahun ini, pihaknya mahu membawa produk halal tempatan ke pasaran antarabangsa terutama di China yang merupakan kekuatan platform e-dagang berkenaan.

“Kami merancang untuk mewujudkan kategori halal dalam TopzMall. Masyarakat Muslim bukan sahaja ada di Malaysia, tetapi seluruh dunia.

“Oleh itu, kami mahu membawa produk halal jenama tempatan masuk ke pasaran antarabangsa. Pelanggan TopzMall bukan sahaja dari Malaysia, tetapi Filipina, Vietnam dan juga China,” ujarnya kepada media ketika ditemui Sunway Resort Hotel & Spa di sini. 

Tambah Calvert, pihaknya yakin produk halal tempatan akan mendapat sambutan di TopzMall kerana kredibiliti sijil halal Malaysia yang cukup diyakini di peringkat antarabangsa.

“Sijil halal Malaysia mempunyai kredibiliti yang kukuh berbanding sijil halal antarabangsa lain. Bukan mudah untuk mendapatkannya dan perlu melalui pelbagai prosedur yang cukup teliti.

“Jadi, kami berharap selepas ini peniaga produk halal tempatan boleh menyertai kami di TopzMall dan menjual produk mereka ke seluruh dunia,” ujarnya.

Calvert Choo menegaskan keunikan TopzMall adalah sebagai platform e-dagang yang memasarkan produk tempatan ke pasaran luar Malaysia.

Menurutnya lagi, buat masa ini, kekuatan Topzmall adalah di China kerana majoriti pelanggan  platform e-dagang berkenaan adalah dari negara tersebut. 

“Pasaran halal di China juga cukup besar, justeru kami berharap pemilik produk halal tempatan tidak akan melepaskan peluang yang ditawarkan apabila kategori halal diperkenalkan dalam TopzMall,” tegasnya.

TopzMall berbeza berbanding platform e-dagang sedia ada termasuk Lazada dan Shopee kerana ia lebih memberi fokus untuk memasarkan produk jenama tempatan ke pasaran antarabangsa.

Selepas berjaya mencatat jualan sebanyak RM16 juta pada tahun pertama operasinya sepanjang 2020, TopzMall kini menyasarkan jualan berganda pada tahun depan iaitu sebanyak RM32 juta.

“Tahun lalu, kami sekadar mencuba pasaran dengan bergabung bersama aplikasi Yippi yang merupakan rakan strategi kami dan nampaknya model perniagaan tersebut berjaya apabila TopzMall menerima banyak trafik daripada Yippi.

“Selepas ini kami akan bergandingan dengan lebih banyak rakan strategi selain platform tetap di laman web,” kata Calvert. – HARAKAHDAILY 17/12/2021

- Advertisement -