Filem Iran, The Sun Children tayang 2022

Asghar (tengah) pada majlis tayangan eksklusif filem The Sun Children di TGV KLCC baru-baru ini.
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

KUALA LUMPUR: Filem terbaharu arahan pengarah berkaliber Iran, Majid Majidi berjudul, The Sun Children bakal ditayangkan di pawagam Malaysia menjelang tahun 2022.

Duta Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi berkata, pihak penaja filem berkenaan sudah mengadakan perbincangan dengan pihak pawagam dan kini sedang menunggu maklumat selanjutnya mengenai tarikh tayangannya.

- Advertisement -

Menurutnya, filem yang memfokus tentang isu buruh kanak-kanak itu menampilkan barisan pelakon utamanya yang terpilih daripada kira-kira 4,000 kanak-kanak jalanan yang hadir pada sesi uji bakat.

The Sun Children sebenarnya didedikasikan buat 152 juta kanak-kanak di seluruh dunia yang telah dipaksa menjadi buruh.

“Plotnya berkisar tentang seorang budak lelaki berusia 12 tahun, Ali Zamani dan tiga rakan sekolahnya yang diupah oleh penjenayah berbahaya untuk menggali harta karun yang tertanam di bawah sekolah mereka,” ujar beliau.

Filem berkenaan ditayangkan secara eksklusif untuk tontonan 150 tetamu termasuk selebriti Malaysia, pembikin filem, kenamaan asing dan pihak media di Malaysia di pawagam TGV, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada 14 Disember, 2021.

Filem terbaharu arahan Majid Majidi ini didedikasikan buat 152 juta buruh kanak-kanak di seluruh dunia.

Majlis tayangan yang dianjurkan Kedutaan Iran di Malaysia serta kerjasama TGV Cinemas dan Suraya Filem itu menurut Asghar, adalah merupakan sebahagian daripada inisiatif pertukaran budaya bagi mengukuhkan hubungan budaya antara Iran dan Malaysia melalui diplomasi seni, muzik, filem dan makanan.

The Sun Children sebelum ini telah berjaya meraih perhatian di peringkat global meskipun dalam era wabak pandemik Covid-19 melanda dunia, apabila ia berpeluang menyertai beberapa  festival filem antarabangsa terkemuka termasuk Festival Filem Antarabangsa Venice, Festival Filem Antarabangsa Miami, Festival Filem Munich, Festival Filem Antarabangsa Moscow, Festival Filem Fünf Seen dan Anugerah Filem Asia ke-15 di Busan, Korea Selatan.

Melalui Festival Filem Antarabangsa Venice ke-77 yang berlangsung dari 2 hingga 12 September 2020, pelakon utama The Sun Children, Rouhollah Zamani yang baru berusia 12 tahun telah berjaya mengharumkan nama Iran apabila menang Marcello Mastroianni Award.

Selain Rouhollah, filem ini turut dibintangi pelakon kanak-kanak Shamila Shirzad, Seyed Mohammad Mehdi Mousavi Fard, Abolfazl Shirzad dan Mani Ghafouri. – HARAKAHDAILY 17/12/2021  >>>(IKUTI  artikel dan reviu mengenai filem The Sun Children dalam Harakah cetak)<<<

- Advertisement -