Bidang kejuruteraan negara perlu diperkasakan

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan hanya mereka yang memiliki kelayakan dalam bidang kejuruteraan boleh diambil bekerja dalam industri berkenaan.

Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata ini boleh dilakukan dengan memperkasakan Akta Pendaftaran Jurutera (Akta 138), Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Akta 520) dan akta lain yang berkaitan bidang kejuruteraan.

- Advertisement -

“Kerajaan perlu menambah baik aspek penguatkuasaan dan penalti bagi memastikan kerjaya ini terus terpelihara dari persaingan tidak sihat dan hasil kerja yang tidak berkualiti yang boleh menggugat keselamatan nyawa orang awam serta harta benda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di Dewan Negara, hari ini.

Khairil Nizam juga memohon Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menilai semula tawaran program kejuruteraan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berdasarkan kebolehpasaran dan bilangan tenaga kerja diperlukan industri.

Beliau turut menyentuh isu `jurutera miskin’ yang dikhuatiri memberi implikasi serius terhadap bidang kejuruteraan yang kini tidak lagi menjadi antara pilihan utama pelajar.

“Kesan permulaannya kita dapat lihat apabila kemasukan pelajar ke aliran Sains, Teknologi, Jurutera, dan Matematik (STEM) semakin berkurangan.

“Kemasukan pelajar ke program kejuruteraan juga semakin menyusut sebanyak 26 peratus antara 2016 hingga 2020,” katanya.

Menurut Khairil Nizam, situasi itu akan memberi kesan negatif terhadap sasaran negara untuk menghasilkan tenaga kerja yang mencukupi dan berkualiti selari dengan Revolusi Industri 4.0.

Justeru itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan mekanisme untuk mewujudkan kerjasama strategik antara pemegang taruh dari agensi kerajaan seperti Lembaga Jurutera Malaysia, Lembaga Teknologi Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, KPT dan pihak industri. – HARAKAHDAILY 16/12/2021

- Advertisement -