Muslim Care Malaysia prihatin keperluan pelajar

Zulkifli Wahijan membuka salah sebuah kotak yang mengandungi komputer riba untuk diserahkan kepada pelajar-pelajar KUIZM di Batu Caves, Gombak, Selangor baru-baru ini.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

BATU CAVES: Bermatlamat meringankan beban pelajar khususnya impak pandemik Covid-19, Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care Malaysia) telah menyumbangkan bantuan komputer riba kepada enam pelajar Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di Batu Caves, Gombak, Selangor.

Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya giat menyumbangkan komputer riba sumbangan orang ramai kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), dan pelajar sekolah ke seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan seluruh negara.   

- Advertisement -

Menurutnya, antara fokus Muslim Care Malaysia adalah untuk memastikan generasi hari ini tidak mengabaikan pendidikan mereka akibat daripada pandemik Covid-19. 

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),  kita sebenarnya begitu mengambil berat terhadap pendidikan rakyat Malaysia yang ketinggalan, terutamanya golongan kurang berkemampuan. 

“Sejak awal lagi, kita sudah giat beri sumbangan keperluan pelajar seperti komputer riba, telefon pintar, bayarkan yuran pengajian dan sebagainya,” katanya ketika ditemui HarakahDaily, selepas majlis penyerahkn enam buah komputer riba masing-masing kepada enam pelajar KUIZM, di sini, baru-baru ini. 

Seramai enam pelajar KUIZM terpilih untuk menerima sumbangan daripada Muslim Care Malaysia baru-baru ini.

Tambah Zulkifli, setakat ini Muslim Care Malaysia sudah menyerahkan hampir 100 buah komputer riba dengan variasi yang berlainan mengikut keperluan pelajar. 

“Kesemua peralatan yang diserahkan kepada pelajar berkenaan adalah komputer riba baharu dan bukan barangan terpakai. 

“Kita mahukan yang terbaik, jadi kita beri yang terbaik kepada mereka. Lagipun komputer riba ini semua ada waranti.”

Menurut beliau lagi, sebarang pihak yang berhajat untuk turut memberi sumbangan komputer riba atau wang, boleh hubungi Nur Asyikin di talian +6011-5005 0035, atau melalui laman Facebook Muslim Care Malaysia. – HARAKAHDAILY 13/12/2021 <<<<Kisah syahdu pelajar-pelajar yang menerima sumbangan komputer riba daripada Muslim Care Malaysia boleh diikuti dalam ruangan Fikrah di akhbar Harakah>>>

- Advertisement -