KOSPEN tangani penyakit tidak berjangkit

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) kini menjadi antara strategi kerajaan untuk menangani peningkatan bebanan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, berkata ketika ini terdapat 974 lokaliti KOSPEN yang aktif dalam kalangan komuniti di negara ini.

- Advertisement -

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi fokus terhadap strategi pencegahan dan kawalan NCD pada peringkat awal mengikut Life Course Approach (LCA) berdasarkan Pelan Strategik Kebangsaan NCD 2016-2025.

“Dasar, pelan dan perkhidmatan mengikut LCA untuk pencegahan dan kawalan NCD mengambil kira keperluan kesihatan dan sosial di semua peringkat kehidupan,” katanya menjawab soalan lisan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff di Dewan Negara, hari ini.

Dr Wan Martina meminta Menteri Kesihatan menyatakan bilangan pusat KOSPEN yang masih aktif dan tindakan kerajaan untuk mengurangkan kadar morbiditi akibat NCD seperti diabetes dan darah tinggi.

Dr Noor Azmi berkata, strategi kerajaan bermula dengan kesihatan dan pemakanan ibu, meneruskan amalan pemakanan bayi yang betul termasuk promosi penyusuan susu ibu, promosi amalan gaya hidup sihat yang berterusan ke arah proses penuaan yang sihat.

Selain itu, katanya KKM menjalankan program pemerkasaan khusus untuk penuntut sekolah dan institusi pengajian tinggi melalui program Health Promotion in Learning Institution (HePiLI), termasuk Program Doktor Muda, Program Ekspresi Anak Remaja Lestari (PEARL) dan Program Siswa Siswi Sihat (PROSIS) serta untuk komuniti dan warga kerja melalui program KOSPEN dan KOSPEN Plus.

Dari segi perawatan, katanya kerajaan memberi intervensi menyeluruh untuk pesakit yang menghidap NCD yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan hospital.

Sementara itu, katanya Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang baru sahaja dilancarkan tahun ini merupakan tawaran baharu kerajaan bagi menjadikan rakyat sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat.

Katanya, KKM juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet ANMS yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan bertindak sebagai platform peringkat tertinggi bagi membincangkan dan mengenal pasti dasar serta tindakan susulan bagi menangani NCD yang memerlukan penglibatan aktif pelbagai kementerian dan agensi. – HARAKAHDAILY 13/12/21

- Advertisement -