Mahkamah negara kita terbukti masih bebas

Dato' Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Tindakan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak semalam membuktikan mahkamah negara ini bebas daripada sebarang campur tangan politik.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, selain itu ia juga membuktikan tiada sebarang campur tangan pihak lain.

Malah katanya, mahkamah juga dianggap tidak menerima tekanan daripada pihak luar walaupun kes itu membabitkan individu yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat.

- Advertisement -

“Keputusan mahkamah tersebut membuktikan mahkamah di negara kita bebas kerana tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Ia merupakan satu perkembangan yang positif, tiada campur tangan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak walaupun kes itu membabitkan individu penting dalam masyarakat dan dikenali di peringkat dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih 2021 serta Pelancaran Zon Bersih, Indah dan Ceria Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kelantan di sebuah hotel hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin

Semalam media melaporkan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Dato’ Seri Najib Razak, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd. – HARAKAHDAILY 9/12/2021

- Advertisement -