Program modular berdasarkan NOSS bantu pekerja dapat kemahiran

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menggiatkan pelaksanaan program modular berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) untuk membantu pekerja yang terjejas akibat Covid-19 mendapat kemahiran dalam tempoh singkat.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata program yang dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) secara sepenuh dan separuh masa juga mensasarkan pekerja industri sedia ada untuk meningkatkan serta mempelbagaikan kemahiran mereka.

- Advertisement -

Katanya, Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) sedia menyediakan tempat latihan bagi membantu dan menggalakkan rakyat yang terkesan dalam situasi Covid-19 meningkatkan kemahiran.

“Latihan dibiayai melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) daripada PERKESO kepada mereka yang hilang pekerjaan, walaupun bukan pencarum Skim Insurans Pekerjaan,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang berkata, kursus jangka pendek berkonsepkan modular dibuka kepada mereka yang berhasrat meningkatkan kemahiran sedia ada atau mempelajari pelbagai kemahiran baharu.

Katanya, mereka yang mengikuti kursus berkenaan berpeluang ditauliahkan dengan Pensijilan Kemahiran Malaysia melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

“ILJTM diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah PPT bagi membolehkan peserta mendapatkan khidmat bimbingan yang bertujuan membangunkan portfolio berdasarkan pengalaman yang mereka miliki sebelum diverifikasi oleh JPK,” katanya.

Sementara itu, katanya kerajaan memberikan jaminan tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua lokasi tauliah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara, jika berlaku gelombang keempat Covid-19.

Awang berkata, pelaksanaan PKP hanya akan dibuat di kawasan yang berlaku penularan Covid-19.

“Terdapat 32 Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Malaysia. Jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan di sesebuah ILP, hanya ILP berkenaan akan diberi tumpuan.

“Tumpuan terperinci akan dilakukan untuk meneruskan agenda pengajian TVET di seluruh Malaysia,” katanya..

Setakat September lalu, katanya terdapat 1,233 pusat bertauliah TVET yang masih aktif dan menawarkan 4,961 program berdasarkan NOSS.

Berdasarkan rekod pentauliahan JPK, katanya hanya dua pusat latihan di bawah jabatan itu telah menutup operasi berikutan pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 2/12/21

- Advertisement -