Jurutera mesti bersatu bangkit perjuangkan isu gaji

- Advertisement -

SAYA meneliti komentar, keluhan dan cadangan rakyat Malaysia melalui tulisan saya pada 4 November 2021 bertajuk ‘Isu Kebajikan Jurutera : Perlu Penyelesaian Menyeluruh’

- Advertisement -

Rentetan itu, saya bersama NGO IMProf telah menganjurkan sidang meja bulat bersama beberapa pemegang taruh utama dalam profesion kejuruteraan yang terdiri dari NGO, pemain industri, dan ahli akademik. 

Turut bersama memberi sumbang saran dalam sesi ini adalah YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Pengerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Implikasi terhadap profesion kejuruteraan yang kini sedang terancam amatlah serius. Profesion ini tidak lagi menjadi antara pilihan utama para pelajar. Kesan permulaannya dapat kita lihat apabila kemasukan pelajar sekolah ke aliran STEM semakin berkurangan. Kemasukan pelajar ke program kejuruteraan juga semakin berkurang. 

Saya tertarik dengan pandangan Ir. Sabri Mohd. Zin, Presiden Malaysia Association of Engineers (MAE) semasa sidang tersebut yang di mana jurutera sentiasa menyelesaikan masalah pihak lain atau pelanggan melalui kemahiran kejuruteraan. Namun kali ini tiba masanya keluarga jurutera harus bersatu untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu kerjaya mereka sendiri.

Bukan semata-mata kerana kepentingan peribadi, tetapi bagi memastikan negara ini terus memiliki tenaga kerja yang mencukupi dan berkualiti bagi membangunkan negara dengan pelbagai infrastruktur dan teknologi demi kemudahan dan keselesaan rakyat.

Saya menyeru setiap ahli keluarga profesien kejuruteraan supaya bersatu memperjuangkan kebajikan mereka di setiap posisi mengikut peranan masing-masing.

Berdasarkan kepada Sidang Meja Bulat yang saya hadir pada hari ini, ada 3 aspek solusi utama yang perlu diperhalusi:

1. Penambahbaikan ekosistem profesion kejuruteraan secara holistik.

Ianya perlu dilaksanakan dengan melibatkan pemerkasaan knowledge-based economy bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui high value chain dan kerjasama strategik antara pemegang taruh dari agensi kerajaan seperti BEM, MBOT, MOHR, MOHE dan industri.

2. Pemerkasaan dan penguatkuasaan akta berkaitan profesion kejuruteraan.

Akta Pendaftaran Jurutera (Akta 138), Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Akta 520) dan lain-lain perlu diperkasakan bagi memastikan hanya mereka yang memiliki kelayakan dalam bidang kejuruteraan sahaja boleh diambil bekerja dalam industri kejuruteraan. 

Ini termasuklah dari jawatan pembantu kemahiran, juruteknik, jurutera sehingga prinsipal di dalam organisasi berasaskan kejuruteraan. Aspek penguatkuasaan dan penalti perlu ditambahbaik bagi memastikan profesion ini terus terpelihara dari persaingan yang tidak sihat dan hasil kerja yang tidak berkualiti yang boleh menggugat kepentingan dan keselamatan nyawa orang awam serta harta.

3. Penilaian semula program Kejuruteraan di IPT berbanding kebolehpasaran dan bilangan tenaga kerja diperlukan industri.

Penilaian ini penting bagi menentukan nisbah sebenar profesion kejuruteraan yang diperlukan mengikut tahap pembangunan semasa negara. Penekanan kepada kemahiran technopreunor, resklling dan upskilling juga perlu bagi memastikan graduan tidak bergantung semata-mata dengan ‘kerja makan gaji’ sekiranya berlaku krisis lebihan graduan (oversupply) berbanding keperluan semasa (demand).

Kertas cadangan yang memperincikan lagi solusi di atas serta beberapa solusi lain akan disediakan oleh Kluster Kejuruteraan di bawah Jabatan Profesional Muda (JPro), Pemuda PAS Malaysia untuk dibawa ke peringkat Parlimen.

Saya juga selaku Ahli Parlimen, Dewan Negara yang datang daripada latar belakang kejuruteraan akan mengangkat isu ini sebagai salah satu isu utama dalam Perbahasan Bajet 2022 saya agar kerajaan dapat memberikan perhatian yang serius dalam isu ini.

Pada masa yang sama, saya menyeru semua pihak untuk bersama menyokong usaha MAE mengumpulkan tandatangan bagi petisyen penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan isu ini di pautan https://chng.it/PVQX5Yv9

SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/12/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044592812267/posts/443765673786523/

- Advertisement -