Lebih RM46 juta laksana program kebajikan rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan Negeri Berkebajikan yang dirintis sejak 30 tahun lalu terus dipertahan sehingga sekarang dengan mengutamakan program kebajikan untuk rakyat.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, bagi Belanjawan 2022 kerajaan negeri memperuntukkan RM46.25 juta bagi tujuan tersebut.

Katanya ia termasuk membiayai program Skim Kifaalah, Gerbang Az-Ziwaj, Bantuan Armalah dan Anak Yatim, pembelaan rakyat miskin dan Skim Al-It’am.

- Advertisement -

“Program itu memberi manfaat kepada 4,600 warga emas, 3,000 bakal pengantin, 42,000 armalah dan anak yatim.

“Selain itu seramai 13,520 penduduk penerima Skim Al-It’am dan 7,333 penerima Skim Al-Musa’adah,” katanya ketika membentang Belanjawan Kelantan 2022 pada persidangan Dun hari ini.

Belanjawan Kelantan 2022 bertema Kelantan Maju Rakyat Sejahtera turut menambah penerima skim Al-Musa’adah seramai 1,333 orang melibatkan pertambahan peruntukan RM4 juta.

Manakala peruntukan untuk Skim Al-It’am meningkat sebanyak RM1.3 juta iaitu 26 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Besar juga berkata, sebanyak RM1.15 juta diperuntuk bagi tujuan bencana iaitu bantuan pengurusan bencana banjir, bantuan segera bencana alam serta bantuan pemulihan dan bekalan bencana alam.

Menurutnya juga kerajaan negeri memperuntukkan RM22 juta termasuk bantuan prihatin, pengurusan operasi, projek-projek khas serta meningkatkan fasiliti kesihatan.

Kata beliau pandemik menjejaskan kelangsungan kehidupan rakyat.

Oleh itu kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM21.09 juta untuk memperkasakan sumber dan rantaian bekalan makanan seperti pertanian, penternakan dan lembu pawah.

“Sejumlah RM6.39 juta diperuntuk untuk kemajuan pertanian meliputi promosi pertanian dan latihan, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri, galakan pertanian dan penternakan, pendidikan pertanian serta Program Jaringan Pasaran Desa dan bantuan baja,” ujarnya.

Ahmad juga berkata, kempen Kelantanku Bersih memberi impak yang memberangsangkan sejak dilancarkan tiga tahun lalu.

Katanya peningkatan kesedaran dan perubahan positif terhadap aspek kebersihan menyumbang kepada kesejahteraan hidup rakyat.

“Bagi tahun 2022 kerajaan memperuntukkan sebanyak RM11.2 juta untuk program kebersihan, menaiktaraf kemudahan awam PBT, membina dan menaiktaraf kemudahan pusat rekreasi dan pelancongan serta menaiktaraf pusat pelupusan sampah.

Sebanyak RM3.5 juta pula diperuntuk bagi pengindahan bandar, taman awam, tempat sukan dan rekreasi, manakala RM2.5 juta diperuntuk untuk kesihatan awam. – HARAKAHDAILY 2/12/2021

- Advertisement -