PAS Pahang tetap perkukuh MN, pertahan PN

- Advertisement -

MN di Pahang masih di dalam keadaan yang harmoni dan PAS Pusat juga masih kekal dengan kerangka agenda ‘Perkukuhkan MN dan Pertahankan PN’. PAS Pahang masih tetap dengan objektif penyatuan iaitu tidak berlakunya pertembungan tiga penjuru di PRU15 akan datang.

- Advertisement -

Usaha PAS untuk penyatuan ummah dan mencapai objektif PRU15 terus berjalan sehingga kini, tiada sebarang keputusan rasmi bahawa PAS telah memutuskan hubungan sama ada dengan MN atau PN, begitu juga tiada keputusan rasmi berkaitan pembahagian kerusi pilihan raya dengan kedua-dua pihak. PAS Pahang akan terus bersabar membawa agenda penyatuan dengan tiga prinsip yang telah dijelaskan oleh Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sewaktu Muktamar PAS Kali ke-67:

1. Keadilan kepada seluruh manusia termasuk terhadap musuh.

2. Perpaduan ummah sebagai satu keluarga besar walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

3. Islam memimpin, jadi semua perintah Allah S.W.T hendaklah dilaksanakan dengan sempurna, di samping menunaikan kewajipan dakwah kepada seluruh manusia yang tidak berpisah dengan politik.

PAS Pahang tetap berpendirian dan akan meneruskan usaha:

1. Sebarang keputusan dari PAS Pahang adalah tertakluk keputusan dari PAS Pusat.

2. Terus membawa agenda penyatuan berasaskan tiga prinsip di atas.

3. Berharap dan berdoa agar agenda penyatuan ummah berjaya mencapai objektif dan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat Negeri Pahang sama ada bidang ekonomi, kelestarian, jati diri rakyat Pahang dan lain-lain.

4. PAS Pahang sentiasa berterima kasih di atas peruntukan yang dihulurkan bermula dari jatuhnya PH dan tertubuhnya MN atau PN, sama ada dari Kerajaan Pusat ketika YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin dan juga YAB Dato’ Sri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia, begitu juga dari Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang bagi kemudahan rakyat Negeri Pahang, khususnya kepada rakyat di kawasan-kawasan wakil rakyat PAS, ini adalah berkah dari penyatuan ummah.

5. PAS Pahang berusaha gigih untuk realisasikan sistem Islam sebagai sistem pentadbiran negara dan negeri yang akan memberikan keadilan kepada semua pihak termasuk yang bukan-Islam.

6. Secara rasminya masih bersama Umno di dalam MN dan akan terus memelihara hubungan baik ini dan berterima kasih kepada YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Umno Pahang atas kerjasama yang baik di Pahang dan sentiasa berharap agar rundingan demi rundingan dapat dilaksanakan bagi mencapai objektif penyatuan ummah, PRU15 dan kebaikan kepada seluruh rakyat Negeri Pahang.

7. PAS Pahang telah mempersiapkan jentera pilihan raya bagi menghadapi PRU ke-15 dalam masa terdekat.

Firman Allah S.W.T:

وَاِنْ طَاۤىِٕفَتٰنِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ اقْتَتَلُوْا فَاَصْلِحُوْا بَيْنَهُمَاۚ فَاِنْۢ بَغَتْ اِحْدٰىهُمَا عَلَى الْاُخْرٰى فَقَاتِلُوا الَّتِيْ تَبْغِيْ حَتّٰى تَفِيْۤءَ اِلٰٓى اَمْرِ اللّٰهِ ۖفَاِنْ فَاۤءَتْ فَاَصْلِحُوْا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَاَقْسِطُوْا ۗاِنَّ اللّٰهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِيْنَ

“Dan apabila ada dua golongan orang-orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlakulah adil. Sungguh, Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.”

(Al-Hujurat: 9)

“Perkukuh MN, Pertahan PN”

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang
ADUN Tanjung Lumpur – HARAKAHDAILY 1/12/2021

- Advertisement -