Omicron dikesan di Belanda seminggu sebelum penerbangan dari Afrika Selatan

Sekurang-kurangnya 14 penumpang kapal terbang dari Afrika Selatan yang mendarat di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam pada 26 Nov) disahkan positif Omicron. (FOTO Wikimedia Commons)
- Advertisement -

THE HAGUE: Pihak berkuasa kesihatan Belanda melaporkan, Omicron sebenarnya telah dikesan di Belanda sebelum dua penerbangan tiba dari Afrika Selatan minggu lalu yang mencetuskan kepada dakwaan virus Covid-19 itu dibawa daripada negara Afrika itu.

Menurut Institut Kesihatan Awam Negara (RIVM), sekurang-kurangnya 14 orang dalam penerbangan dari Johannesburg dan Capetown tiba di lapangan terbang Schiphol Amsterdam pada Jumaat (26 Nov) dengan membawa Omicron. 

- Advertisement -

“Kami sebenarnya telah terlebih dahulu menemui Omicron dalam dua sampel ujian yang diambil pada 19 Nov dan 23 Nov (di Belanda, sebelum ketibaan penerbangan dari Afrika Selatan pada 26 Nov).

“Belum jelas lagi, sama ada dua indivudu yang positif Omicron itu telah melawat Afrika Selatan sebelum itu,” ujar kenyataan tersebut, menurut laporan Reuters.

Terdahulu, penemuan Omicron telah mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia bahawa varian baharu itu  boleh mengatasi perlindungan vaksin dan memanjangkan lagi tempoh pandemik Covid-19 yang telah memakan masa hampir dua tahun itu.

Kira-kira 61 daripada lebih 600 penumpang dalam penerbangan Afrika Selatan diuji positif Covid-19 dan menjalani kuarantin selepas tiba di Belanda pada Jumaat (26 Nov) lalu.

Pihak berkuasa Belanda juga sedang berusaha untuk menghubungi dan menguji kira-kira 5,000 penumpang lain yang telah melakukan perjalanan dari Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia atau Zimbabwe.

Di Belanda, langkah lebih tegas terhadap Covid-19  berkuat kuasa pada Ahad (29 Nov) untuk mengekang rekod kadar jangkitan harian melebihi 20,000 dan mengurangkan tekanan ke atas hospital-hospital di negara itu. – HARAKAHDAILY 1/12/2021

- Advertisement -