Inisiatif memperkasa lelaki ‘qawwam’

ISTERI dipukul dengan kejam. Anak-anak diabaikan tanpa rasa simpati. Keluarga berkecamuk akibat tekanan yang pelbagai.

Kesannya:

Sepanjang PKP, 9,015 kes keganasan rumahtangga telah direkodkan. Jumlah ini adalah statistik daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat KPWKM. Bukan angka yang dipetik daripada langit, tapi angka realiti yang cukup meresahkan. Dan pastinya, ini satu jumlah yang tidak boleh dipandang ringan.

Advertisement

Jika ini berlarutan, saya melihat akan berlakunya kejatuhan institusi keluarga yang sepatutnya menjadi institusi paling ampuh untuk kemajuan sesebuah negara.

Namun, apa yang lebih utama ialah bagaimana keadaan yang kompleks ini sebenarnya dibentuk melalui sebuah sistem organisasi kekeluargaan, perlu dipimpin oleh seorang lelaki yang mampu melindungi secara holisitik demi menjamin kebahagiaan dan keharmonian keluarga. Ya, ini semua berbalik kepada soal kepimpinan sesebuah keluarga. Dan itulah, lelaki qawwam!

Rasulullah S.A.W bersabda dalam Hadis Riwayat Bukhari, yakni:

“Setiap kalian adalah pemimpin dan akan dimintai pertanggungjawaban atas kepemimpinannya dan imam adalah pemimpin dan orang laki-laki adalah pemimpin bagi keluarganya dan wanita adalah penanggung jawab atas rumah suami dan anaknya. Dan, setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya.”

Seandainya seorang lelaki tidak memiliki sifat-sifat sebagai pelindung kepada wanita, maka berlakunya kezaliman terhadap isteri dan keluarga. Bertindak ganas terhadap anak-anak, culas dalam menunaikan nafkah sebaliknya memenuhi tuntutan nafsu yang salah dengan perbuatan tercela oleh Allah S.W.T.

Bahkan meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa berdalilkan sabda Nabi S.A.W, Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ

“Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.”

Usaha-usaha untuk memperkasa peranan golongan lelaki sebagai pelindung dan ketua keluarga perlu digerakkan secara terancang.

Saya mengambil peluang untuk menegaskan dan dukungan kepada pelaksanaan penguatkuasaan perintah Hiwalah ke atas bekas suami atau bapa yang culas dalam pemberian nafkah yang digunakan bagi melunaskan tuntutan nafkahnya. Sekatan terhadap akaun bank tersebut dilaksanakan sehinggalah bekas suami atau bapa penghutang menyelesaikan hutang nafkah mereka.

Tindakan ini adalah bagi tujuan untuk membela kebajikan anak-anak dan golongan wanita di samping pendidikan kepada para lelaki untuk bertanggungjawab dengan keluarga sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syarak. 

Sehubungan itu, bagi memperkasa golongan lelaki sebagai pelindung dan ketua keluarga, kami di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengorak langkah mengadakan pertemuan bersama para ilmuwan, aktivis masyarakat dan lain-lain undangan untuk berbincang mengenai inisiatif memperkasa lelaki qawwam. Pertemuan ini akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya sebentar tadi.

Segala input Sidang Meja Bulat ini akan diambil tindakan seterusnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM selaku agensi peneraju hal ehwal Islam.

Buat para lelaki, berusahalah untuk menjadi insan yang melindungi, membimbing dan menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab. 

SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 30/11/2021

Sumber Asal:  https://m.facebook.com/225083869659930/posts/265738378927812/