Agenda membangunkan lelaki ‘qawwam’

- Advertisement -

APABILA al-Quran menyebut ayat ‘Ar-rijalu Qawwamuna ‘alan Nisa’’, adakah ia bermaksud kedudukan wanita adalah lebih rendah berbanding lelaki?

- Advertisement -

Tidak. Ia tidak sesekali menggambarkan golongan wanita sebagai lemah akal dan tidak pandai menguruskan emosi sehingga memerlukan perlindungan lelaki. 

Sebaliknya, ia menekankan kepada peranan lelaki sebagai pemimpin dan wali kepada ahli keluarga yang berada di bawah nafkah dan tanggungannya ke arah kebaikan dunia dan akhirat. 

Lelaki dan perempuan hakikatnya sama-sama bertanggungjawab sebagai pemimpin dalam setiap perkara yang diamanahkan kepada mereka:

“Dari Ibnu Umar R.A dari Nabi S.A.W, bahawa Baginda bersabda: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepemimpinannya”.”

 (Hadis Riwayat Muslim No: 3408)

Dalam konteks keluarga, lelaki qawwam adalah wali yang mampu melindungi keselamatan dan maruah ahli keluarga yang berada di bawah tanggungannya. 

Sekiranya wali yang asal tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang ditetapkan hukum syarak, maka tanggungjawab perwalian akan berpindah kepada wali yang seterusnya mengikut ‘asabah.

Jika seorang wali memainkan peranannya dengan baik, banyak masalah sosial yang membabitkan institusi keluarga boleh diselesaikan. Oleh itu, agenda membangunkan lelaki qawwam adalah sama penting dengan agenda pemerkasaan wanita. 

Sifat kepimpinan seorang lelaki perlu dibentuk dan dididik sejak dari kecil lagi bagi mengelakkan masalah lelaki lemah yang culas membayar nafkah, melakukan penderaan terhadap ahli keluarganya dan gagal membimbing ahli keluarganya mentaati perintah Allah.

Mengambil semangat daripada Kerajaan Negeri Kelantan yang telah pun memperkenalkan Dasar Qawwamah Lelaki Kelantan sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM turut mengambil langkah awal dengan menganjurkan Persidangan Meja Bulat Inisiatif Lelaki Qawwam yang dipengerusikan oleh YB Senator Ustaz Idris Ahmad sendiri.

Kami mengharapkan agar agenda pembangunan dan pembinaan lelaki qawwam di semua peringkat umur dapat disahut oleh semua pihak yang berkepentingan.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 30/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100050311487174/posts/455040036183042/  

- Advertisement -