Konsert dan hiburan bukan ubat penenang rakyat

Teguran terbuka kepada Kerajaan Negeri Pahang

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) ingin melahirkan rasa kesal dan terkejut kami dengan penganjuran konsert ‘Live In Kuantan’ yang akan berlangsung pada 18 Disember 2021 di Stadium Darul Makmur di saat wabak pandemik masih belum reda sepenuhnya.

- Advertisement -

Dalam hal ini, kami berpandangan penganjuran konsert atau apa-apa aktiviti hiburan bukanlah keutamaan perlu dalam situasi semasa yang masih kritikal pada fasa pasca PKP ini. Aktiviti sebegini juga tidak wajar dijadikan sebagai ubat untuk menenangkan emosi dan tekanan rakyat yang sedang terdesak untuk meneruskan kelangsungan kehidupan selepas pasca PKP yang sangat menekan dalam semua aspek kehidupan.

Kami juga ingin mengingatkan Kerajaan Negeri Pahang untuk lebih teliti dan sensitif dalam merancang dan memberi kebenaran dalam hal penganjuran aktiviti hiburan sebegini. Sedangkan aktiviti kerohanian dan imarah masjid atau surau masih lagi terikat dengan SOP yang ketat sehingga solat masih lagi dikerjakan dalam keadaan berjarak, kanak-kanak (bawah 7 tahun) masih tidak dibenarkan untuk hadir ke masjid, aktiviti kuliah dan majlis ilmu masih terikat dengan jangka waktu tertentu dan pelbagai kekangan yang lain seperti yang terkandung dalam SOP yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti.

Tetapi aktiviti hiburan terus mendapat kemudahan dan ruang yang luas untuk dianjurkan sama ada di dalam media sosial, media massa mahupun secara fizikal yang sudah tentu akan menimbulkan kegusaran kepada pihak-pihak terlibat atas ketidakadilan penguatkuasaan dan keputusan yang diputuskan oleh kerajaan negeri.

Penganjuran konsert dan aktiviti hiburan seperti ini juga menimbulkan kegusaran di pihak kami memandangkan pihak penganjur seolah-olah cuba memberi candu kepada rakyat negeri ini agar terus berkhayal seterusnya melupakan tekanan dan himpitan realiti kehidupan semasa. Kerana situasi tekanan hidup semakin memuncak disebabkan aliran tunai dan kuasa beli semakin berkurang ditambah pula dengan kenaikan mendadak harga barangan makanan asas.

Kerajaan seharusnya memikirkan jalan bagaimana boleh meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dengan program-program dan insentif yang boleh membangunkan modal insan dan kemahiran survival kehidupan yang lebih bermanfaat dan efektif bukan dengan aktiviti hiburan untuk sekadar meredakan tekanan pada jangka masa sekejap sahaja. 

Maka kerana itu, Dewan Pemuda PAS Pahang bersedia untuk membuka ruang seluas mungkin untuk sesi dialog mahupun kerjasama dengan semua pihak khusus bagi membincangkan dan melaksanakan program mahupun aktiviti hiburan dan ilmiah yang bersifat mendidik dan membangun modal insan di Negeri Pahang ini seiring dengan matlamat perjuangan kami untuk memastikan masyarakat dan negeri ini dijalankan dan dibangunkan nilai-nilai kehidupan yang lebih baik sesuai dengan syariat Islam.

Kami mendoakan semoga kesejahteraan bumi Pahang ini terus berpanjangan di bawah dengan panduan dan suluhan wahyu daripada Ilahi. DPPNP juga menyatakan tekad untuk terus bersama mempertahankan kerajaan ini bagi memastikan agenda perpaduan ummah terus diperkasa bagi memberi manfaat buat semua rakyat di negara ini khususnya di Negeri Pahang Darul Makmur ini selagi mana kepimpinan negeri ini terus patuh dan tunduk kepada syariat Allah S.W.T.

“Islam Menyatukan Ummah”
“Memacu Perpaduan”

USTAZ AIRIEROSHAIRI ROSLAN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP)
Ketua Penerangan
Pemuda Perikatan Nasional Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 30/11/2021

- Advertisement -