PAS Temerloh giat tambah keahlian baharu

- Advertisement -

TEMERLOH: PAS Kawasan Temerloh sedang mempergiatkan lagi kempen keahlian baharu PAS dalam usaha meningkatkan jumlah pertambahan ahli di tiga DUN iaitu Kuala Semantan, Mentakab dan Lanchang.

- Advertisement -

Penolong Setiausaha III PAS Temerloh, Ustaz Zulkefli Yusoff memberitahu, kempen yang bermula sejak sebulan lalu itu akan berlarutan selama enam bulan dengan sasaran pertambahan 1,000 ahli baharu.

“Kita yakin sasaran ini bakal dicapai kerana masih banyak PAS Cawangan yang belum menyerahkan borang-borang permohonan keahlian yang diterima mereka,” ujarnya selaku Pengarah Kempen.

Beliau berkata demikian semasa menyerahkan hampir 100 borang permohonan keahlian PAS kepada Penolong Setiausaha PAS Negeri Pahang, Mohd Sofian Abdul Jalil di Pejabat PAS Kawasan Temerloh di Taman Temerloh Jaya, di sini baru-baru ini.

Penolong Setiausaha II PAS Temerloh, Zolkornaini Abdullah yang juga bersama telah merakamkan penghargaan kepada Sofian selaku Pengarah Kempen Penambahan Keahlian PAS Pahang atas komitmen dilaksanakan.

“Ini dapat menyemarakkan lagi kesungguhan di semua peringkat serta menyuntik semangat melalui kempen yang diadakan, di samping melaksanakan usaha memperkukuh kefahaman perjuangan kepada ahli,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/11/2021

- Advertisement -